Oleh: NAEEM RAFFI
SHAH ALAM, 21 OGOS: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) berjaya mengumpul dana lebih RM1.2 juta setakat ini hasil derma dan jualan bagi tujuan perhimpunan Bersih 4.0, pada 29 dan 30 Ogos ini.
Perkara itu dimaklumkan dalam status facebook rasmi gabungan itu.
“Jumlah terkini derma dan penjualan baju yang kami terima adalah RM1,221,419.02. Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang menderma.
“Kepada yang belum, teruskan menderma,” lapor status itu.
Perhimpunan BERSIH 4 diadakan bagi menuntut penjelasan keterlibatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membiayai kempen pilihan raya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13).
Berdasarkan pendedahan Wall Street Journal (WSJ), 1MDB dilaporkan membiayai kempen Najib secara tidak langsung melalui pembelian aset penjana tenaga Kumpulan Genting dengan harga lima kali nilainya, pada tahun 2012.
WSJ turut mendakwa Genting menderma sebahagian pendapatan hasil penjualan itu kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia yang dikuasai Najib.
Laporan itu menjelaskan yayasan berkenaan kemudiannya mengumumkan beberapa projek kebajikan yang Najib gunakan ketika kempen PRU-13.
Perhimpunan Bersih 4.0 dijadual diadakan serentak di Kuala Lumpur, Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).
-NFN-