Categories
SELANGOR

Iskandar: KLIK turun ke 20 lokasi

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 OGOS: Program Kelab Interaktif Komuniti (KLIK) mengenalpasti 20 kawasan pangsapuri kos rendah untuk pelaksanaan aktiviti sepanjang tahun ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Samad, berkata satu kumpulan remaja akan dikenalpasti untuk menjadi kumpulan yang akan membawa perubahan kepada pembangunan kawasan mereka di bawah program KLIK.

Iskandar (PAS-Chempaka) berkata, kumpulan terbabit akan bertindak sebagai koordinat bagi kawasan mereka dan akan diberikan latihan serta kursus.

Iskandar Samad“Kerajaan Negeri yakin bahawa remaja lebih efektif dalam membawa perubahan kepada masyarakat sebagai tujuan mengurangkan masalah sosial di pangsapuri kos rendah.

“Kerajaan Negeri juga menganjurkan kempen seperti Pangsapuri Kita Bersih, Ceria dan Harmoni bagi tujuan sama,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi menjawab pertanyaan Dr Halimah Ali (PAS-Selat Klang), semalam.

Iskandar berkata, Skim Rondaan Keselamatan Kejiranan (SEROJA) turut diberikan kebenaran kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan MC menggunakan sebahagian peruntukkan geran untuk memasang Kamera Litar Tertutup (CCTV).

“Kita faham kaedah memantau dan rondaan masa kini adalah sukar dilaksanakan secara konsisten berdasarkan senario masa kini.

“Oleh itu, kaedah paling relevan era moden ini adalah pemasangan CCTV. Mereka perlu memberi maklumat bilangan kes jenayah yang berlaku kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk dianalis,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan RM1 juta setahun juga diberikan kepada SEROJA dan KLIK.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.