Categories
SELANGOR

Dakwaan roboh tokong berniat jahat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 OGOS: Tohmahan kononnya Kerajaan Negeri mengamalkan diskriminasi dan bersikap kejam bertindak merobohkan tokong perlu dihentikan segera.

Exco Kanan, Datuk Teng Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri sentiasa bertindak mengikut saluran dan prosedur betul sebelum sebarang keputusan dibuat.

Katanya, keputusan juga bukan dibuat untuk kepentingan individu atau bermotif keuntungan, sebaliknya dilakukan demi kemudahan serta kesejahteraan semua pihak.

YB Datuk Teng serahkan sumbangan Tokong (1)“Untuk projek jambatan ketiga Klang, kita terpaksa menempatkan semula dua tokong, malangnya terdapat persatuan yang enggan memahami situasi itu.

“Malah mereka memberi tekanan kepada pegawai kita supaya tapak tertentu diluluskan kepada mereka tanpa mengira kepentingan persatuan lain.

“Maka, pihak tidak bertanggungjawab melemparkan tuduhan tidak berasas mengatakan saya mahu merobohkan tokong yang berada di salah satu tapak yang dipohon pihak lain,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, Chang Khim menyampaikan sumbangan RM840,700 kepada lebih 60 persatuan agama Buddha dan tokong di Bangunan SUK di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, beliau turut memberi amaran untuk pihak yang melemparkan fitnah membetulkan kenyataan seterusnya membersihkan nama baiknya.

“Jangan menuding jari kepada saya kerana keputusan dibuat secara kolektif melalui jawatankuasa dianggotai Exco lain seperti V. Ganabatirao dan Elizabeth Wong.

“Kita juga bukan bertindak membuta tuli tetapi mengikut laporan dan juga input yang diberikan wakil persatuan masing-masing.

“Saya beri amaran jangan buat tohmahan untuk memberikan tekanan kepada saya atau pegawai meluluskan permohonan mengikut kehendak mereka,” tegasnya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.