Categories
SELANGOR

Selangor bantu mangsa kebakaran Sabah terbiar 2 bulan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 OGOS: Pihak berwajib Sabah digesa mempercepatkan pembinaan semula kediaman mangsa kebakaran di Kampung Pantai Bahagia, Kudat Sabah lebih dua bulan lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata lawatannya baru-baru ini mendapati tiada sebarang pembangunan dimulakan di kawasan itu.

Katanya, lebih menyedihkan, kebanyakan mangsa masih lagi tinggal di dewan orang ramai.

Dr Daroyah“Seharusnya Sabah bangunkan penempatan semula mangsa ini sepertimana dijanjikan demi kesejahteraan rakyat.

“Sedangkan Selangor yang jauh dari Semenanjung hadir menghulurkan sumbangan. Tidak malukah jika mereka hanya berdiam diri tanpa menghulurkan bantuan secara segera dan serius,” katanya dalam sebuah kenyataan media.

Terdahulu, delegasi Selangor diketuai Daroyah hadir bertanya khabar selain membawa sumbangan kepada 94 keluarga di sana.

Pada 17 Jun lepas, kejadian kebakaran itu mengakibatkan lebih 400 penduduk di Kampung Pantai Bahagia tinggal sehelai sepinggang.

Selain pemberian sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai, Kerajaan Selangor juga menyampaikan sumbangan berupa zink kepada setiap keluarga mangsa.

“Simbolik pemberian zink ini adalah kerana di dalam pembinaan sebuah rumah, bumbung merupakan keperluan yang paling utama untuk dijadikan tempat berlindung.

“Walau hanya menggunakan satu tiang sahaja, zink yang dijadikan bumbung ini mampu meneduhkan dan melindungi kita dari hujan dan panas.

“Selangor memberi harapan baru kepada mangsa,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.