Categories
KENYATAAN MEDIA

GERAMM: Hormati tugas media semasa BERSIH 4.0

Perhimpunan Bersih 4 yang dijadualkan pada Sabtu dan Ahad ini dijangka berlangsung secara besar-besaran, dengan wartawan daripada pelbagai organisasi media dijangka membuat liputan.

Perhimpunan Bersih 3 dua tahun lalu menyaksikan sejumlah wartawan daripada beberapa media menjadi sasaran belasahan pihak berkuasa dan juga peserta.

Justeru Geramm ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat agar menghormati kakitangan media yang turut ke lapangan menjalankan tugas.

Kedua-dua pihak sepatutnya dapat mengenalpasti kakitangan media dengan mudah, memandangkan mereka memakai pas media dan pakaian yang berkaitan, serta membawa peralatan media seperti kamera.

Geramm berharap insiden yang berlaku pada perhimpunan Bersih sebelumnya tidak akan berulang.

Kepada kakitangan media yang bertugas, Geramm ingin mengucapkan selamat maju jaya dalam menjalantkan tugas memberi maklumat kepada orang ramai tentang apa yang berlaku, tanpa rasa takut dan pilih kasih.

Selain itu, Geramm juga ingin mengecam keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat akses ke laman yang “mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai untuk menyertai perhimpunan Bersih 4”.

Notis yang disiarkan di laman Facebook SKMM menyatakan keputusan itu dibuat dengan alasan laman-laman ini “mengancam kestabilan negara”.

Akan tetapi Geramm melihat langkah terbaru ini sekadar satu lagi usaha kerajaan mengekang hak rakyat untuk bersuara dan mendapatkan maklumat.

GERAMM ialah perikatan longgar wartawan, wakil media dan aktivis tempatan yang memperjuang kebebasan media dan pengamalnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.