Categories
NASIONAL

Jangan berhenti cari punca nahas MH370

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kerajaan perlu menyiasat dan mencari punca sebenar tragedi MH370 walaupun penemuan serpihan sayap disahkan milik pesawat malang itu.

Pengarah Strategik PKR, Sim Tze Tzin, berkata hal itu ekoran banyak persoalan timbul apabila radar pertahanan Malaysia tidak dapat mengesan pesawat itu apabila ia berpatah balik.

“Saya menyeru kerajaan terus mencari punca nahas terjadi. Kita tidak boleh berhenti mencari puncanya,” katanya kepada Selangor Kini.

sim-tze-tzimTze Zin berkata, tragedi misteri pesawat yang hilang lebih setahun itu patut diambil ikhtibar semua pihak seterusnya mempertingkatkan kawalan keselamatan sektor penerbangan Malaysia.

“Mengambil iktibar daripada nahas ini, kerajaan harus tingkatan keselamatan sektor penerbangan. Setiap kapal terbang harus dipasang teknologi GPS yang boleh dikesan lokasi dengan tepat.

“Kerajaan juga harus memastikan sistem radar ‘military’ terus berfungsi dengan cekap. Tentera Udara Diraja Malaysia juga tidak memberikan respon dengan cepat apabila mendapati ada permasalahan kapal terbang,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan harus menyiasat dengan telus dan profesional tanpa menyembunyikan sebarang rahsia daripada rakyat.

“Saya rasa simpati terhadap mangsa MH370. Saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap kerajaan telus dalam siasatan tragedi ini,” katanya.

MH17 aKira-kira jam 2 pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion adalah daripada pesawat MH370.

“Hari ini, 515 hari sejak hilangnya pesawat, dengan berat hati saya harus maklumkan bahawa pasukan pakar antarabangsa dengan muktamad mengesahkan bahawa serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion daripada MH370,” katanya.

Pesawat MAS Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, pada 8 Mac 2014.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.