Categories
SELANGOR

Pasang perangkap nyamuk di tempat awam kawal denggi

SHAH ALAM, 5 OGOS: Pemasangan perangkap nyamuk di kawasan awam yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) adalah untuk kajian termasuk satu langkah mengelakkan penularan wabak.

Ketua Bahagian Kesihatan Awam MPS, Zulkifli Ariffin berkata alat auto sidal ovitrap dipasang di sepuluh kawasan awam sejak pertengahan tahun lalu antaranya di Stadium Selayang, pasar raya dan pejabat kerajaan.

Katanya, keberkesanan penurunan wabak bukan objektif utama, sebaliknya sebagai usaha kepada pencegahan wabak di lokasi tumpuan.

DENGGI GRAFIK“Kita tak boleh letakkan skala penurunan kes sebagai kayu ukur kajian kerana penularan wabak disebabkan faktor lokasi dan cuaca.

“Sekurang-kurangnya 30 alat dipasang di setiap lokasi dan berubah bergantung kepada lokaliti dan logistik. Bagaimanapun jumlah sepuluh kawasan kekal sejak kajian dijalankan,” katanya memetik Sinar Harian.

Katanya, sehingga epid ke 29 sebanyak 19 kawasan hotspot denggi disenaraikan menunjukkan peningkatan dua kawasan berbanding minggu sebelumnya.

“Sebanyak 12 hotspot disenaraikan pada minggu ke 27 dan meningkat kepada 17 pada minggu 28 dengan jumlah kesnya adalah 2,995, dan lima kematian dicatatkan.

“Semburan kabus dan pemeriksaan dilakukan di premis dan rumah terutama bagi kawasan disenaraikan dalam hotspot,” katanya.

Pengerusi JKKK Selayang Baru, Jumari Talip berkata enam daripada lapan lokasi di Selayang Baru kembali tersenarai dalam kawasan hotspot selepas dua bulan.

“Kita sudah mula gerakkan semula kempen dan edaran risalah berkenaan kawalan wabak di tempat awam dan dari rumah ke rumah untuk tingkatkan kesedaran awam memandangkan terdapat kes melibatkan dalam unit kediaman.

“Lantikan kontraktor baru pengurusan sampah antara faktor penyumbang di mana keadaan persekitaran tidak bersih menyebabkan takungan dan berlakunya wabak. Namun masalah itu dilihat kembali pulih kebelakangan ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.