Categories
NASIONAL

Pelajar cemerlang tak dapat masuk IPTA, kerajaan patut bertindak

Oleh: NAEEM RAFFI

PETALING JAYA, 25 OGOS: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) patut menambah tawaran kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada pelajar yang layak.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata pihaknya mengesan hampir 300 pelajar cemerlang dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) melebihi 3.0 gagal mendapat tawaran dan kursus pilihan.

20150824210542Angka itu diperoleh menerusi laman web ‘Higher Education Complaint and Appeal Portal (HEAP) yang dibangunkan parti itu bagi membantu pelajar cemerlang menyambung pengajian di IPTA.

“Sejumlah 290 pelajar membuat aduan kepada HEAP kerana tidak mendapat sebarang tawaran ke IPTA atau kursus diberikan diluar pilihan mereka.

“Sekurang-kurangnya 29 kes direkodkan berlaku membabitkan pelajar dengan PNGK lebih 3.0 mendapat kursus luar pilihan dan 95 kes gagal menerima sebarang tawaran meskipun PNGK mereka lebih baik daripada Ahmad Maslan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut dihadiri Ahli Panel HEAP iaitu Exco Pendidikan Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Kapar G. Manivanandi Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

HEAP dilancarkan PKR pada 15 Ogos lalu bertujuan membantu pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat di IPTA dan juga pelajar cemerlang yang gagal mendapat kursus yang dipilih mereka.

Kes itu dinilai ahli panel HEAP sebelum dirujuk kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU).

Ia terbuka kepada semua pelajar lepasan STPM/setaraf yang ingin mengadu kepada Ahli-ahli Parlimen PKR.

Tze Tzin berkata HEAP juga berjaya mengesan isu kelayakan dan pemilihan songsang yang terkait dalam sistem Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU).

Katanya, pelajar dengan PNGK 1.92 (paling rendah dalam rekod HEAP) mendapat tawaran ke IPTA sedangkan terdapat lebih 95 pelajar dengan PNGK 3.0 ke atas tidak pula menerima nasib sama.

“Kalau kita anggap 3.0 ke atas sebagai cemerlang, amat mengejutkan kerana 95 pelajar cemerlang dalam rekod HEAP gagal terima tawaran.

“Rekod HEAP mendapati pelajar bumiputera turut menerima nasib ini dan ini bermaksud semua bangsa berdepan risiko menjadi mangsa kepada sistem UPU yang tidak telus dan penuh kelemahan,” katanya.

Merujuk kepada data diperoleh daripada Parlimen dan media, pengambilan pelajar 2015 hanya 40,438 pelajar iaitu paling rendah berbanding 2013 (41,573) dan 2014 (42,795).

Langkah seterusnya, Tze Tsin bersama Ahli Panel HEAP yang lain akan mengatur pertemuan secara ‘constructive engagament’ bersama KPT bagi membantu memperbetulkan kelemahan sistem UPU.

“KPT perlu profesional dan telus kerana orang awam sangsi dengan ciri pemilihan pelajar ke IPTA secara jelas sejak STPM dan Matrikulasi ditubuhkan 20 tahun lalu,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.