Oleh: AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM, 28 OGOS: Golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang gagal mendapatkan pinjaman rumah dibantu melalui Skim Khas Pembiayaan Pembelian Rumah Selangorku.
Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata skim itu membantu golongan tanpa pendapatan tetap, tiada bukti pendapatan dan umur lanjut untuk memohon pinjaman.
Katanya, kerjasama antara Kerajaan Selangor dan Maybank itu melibatkan 674 orang daripada lima projek Rumah Selangorku pada fasa pertama.
“Antara projek terlibat adalah Taman Selayang Mutiara, Bukit Botak (164 bakal pembeli), Rumah Kos Rendah (RKR) Rimba Jaya seramai 104 orang, RKR Ukay Indah Sungai Sering (116), RKR Lembah Subang 2 (262) dan RKR Berembang Indah (28),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Skim Khas Pembiayaan Pembelian Rumah Selangorku, di Foyer Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.
Skim itu membiayai sehingga 97.5 peratus daripada nilai harga hartanah dengan tempoh pembiayaan sehingga 30 atau 60 tahun.
Senarai pemohon ditapis Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan pihak berkuasa negeri sebelum nama mereka diserahkan kepada Maybank Islamic untuk kelulusan pembiayaan.
Pada masa sama, Mohamed Azmin, berkata Kerajaan Negeri optimis sasaran pembinaan 15,000 unit Rumah Selangorku dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
Katanya, ia dapat direalisasikan melalui kerjasama LPHS bersama pemaju swasta untuk mengadakan program pelancaran dan pendaftaran Rumah Selangorku.
“Setakat ini, 11 projek Rumah Selangorku sudah dilancarkan melibatkan 12,409 unit.
“Saya yakin dalam tempoh dua tahun lagi, sasaran Kerajaan Selangor tercapai,” katanya.
EZY