Categories
KENYATAAN MEDIA

Tahniah gerakan mahasiswa!

Oleh: KHAIRUL NAIM RAFIDI

Walaupun kesal dengan tindakan PDRM yang menangkap mahasiswa yang berkampung di hadapan parlimen, Sekolah Undang-Undang Rakyat (SUUR)mengucapkan syabas dan tahniah atas semangat yang ditunjukkan oleh mahasiswa.

Walaupun dalam jumlah yang kecil, mahasiswa dapat terus dengan idealisme dan semangat untuk terus bertahan dengan tuntutan-tuntutan demi kepentingan awam (Public Interest), pada waktu ini.

MahasiswaHak untuk berhimpunan dan menyatakan pandangan adalah dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Tangkapan di bawah seksyen 124B Kanun Keseksaan adalah tidak munasabah, kerana #LangkahSiswa hanyalah mahasiswa yang peduli dan mahu menyatakan tuntutan terhadap beberapa perkara yang amat kritikal pada ketika ini.

SUUR percaya bahawa hak ini dijamin perlembagaan dan tidak akan memudaratkan demokrasi berparlimen. Harus diingatkan bahawa hak rakyat dilindungi selagi perhimpunan itu tidak memudaratkan dan dijalankan tanpa sebarang senjata.

Walau bagaimanapun, SUUR juga berterima kasih kepada PDRM yang memberi masa dan ruang lebih daripada 24 jam kepada mahasiswa untuk berhimpun.

Namun begitu, SUUR tidak dapat berkompromi dengan sebarang tindakan untuk menakut-nakutkan mahasiswa, lantas mengembalikan semula budaya takut (Culture of fear) yang selama ini menghantui mahasiswa.

SUUR menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menggunakan ruang untuk berekspresi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan demi kemaslahatan masyarakat dalam negara Malaysia yang kita cintai.

SUUR juga percaya bahawa pemimpin silam negara ini sememangnya bercita-cita besar untuk memastikan hak asasi untuk rakyat dalam negara ini terjamin, seperti dalam Pemasyhuran Kemerdekaan yang dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957, antara petikannya
ialah ;

“Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.”

Atas semangat arkitek negara ini, SUUR menyokong tindakan mahasiswa selagi mana ia bertepatan dengan prinsip perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Tahniah gerakan mahasiswa!

*KHAIRUL NAIM RAFIDI
PENGASAS SEKOLAH UNDANG-UNDANG RAKYAT (SUUR)

Sekolah Undang-Undang Rakyat (SUUR) merupakan satu kolektif bebas yang bertindak bagi memberi kesedaran serta pendidikan undang-undang secara percuma kepada masyarakat akar umbi.

SUUR ditubuhkan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat sivil tentang Perlembagaan serta undang-undang yang berkait rapat dengan masyarakat sekeliling. SUUR boleh dihubungi melalui email [email protected] atau Instagram @suurofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published.