Categories
NASIONAL

BERSIH : Kenapa himpunan perkauman tiada tindakan?

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 21 SEP : Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mempertikaikan sikap pilih kasih polis terhadap Himpunan Rakyat Bersatu meskipun ia bersifat perkauman.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah, berkata tindakan berat sebelah itu tidak boleh diterima kerana himpunan Baju Merah jelas dipenuhi aksi provokasi, menimbulkan kekacauan dan menggugat keselamatan.

MARIA CHIN“Polis sememangnya bersikap berat sebelah dan perkara itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana jika mereka dibenarkan berhimpun, kenapa BERSIH dihalang?

“BERSIH 4.0 adalah perhimpunan aman dan melibatkan semua kaum, tetapi himpunan baju merah lebih cenderung terhadap keganasan dan bersifat perkauman,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil disoal siasat polis hanya kerana memakai baju-T Bersih 4.0.

Antara yang disoal siasat adalah bekas pengerusi bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan, Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong dan Ahli Parlimen Kapar G Manivannan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

IMG_6550Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali turut disiasat atas tujuan sama di IPD Dang Wangi, Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Maria berkata pihaknya tidak menolak penganjuran perhimpunan kerana ia adalah perkara biasa dalam politik Malaysia, namun beranggapan ia perlu dilakukan secara teratur.

Katanya, pengajur perhimpunan juga tidak perlu diberikan permit kerana ia adalah sah di sisi undang-undang dan termaktub dalam Perlembagaan.

“Sesuatu perhimpunan itu mestilah berlangsung dengan aman dan tanpa keganasan atau provokasi mana-mana pihak.

“Polis juga perlu bersikap adil, jangan hanya membuat tangkapan terhadap peserta berbaju kuning, tetapi membiarkan peserta berbaju merah yang jelas melakukan keganasan,” katanya.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.