Oleh: NAZLI IBRAHIM
SABAK BERNAM, 25 SEP: Kerajaan Negeri yakin belanjawan defisit yang dibentangkan dalam Belanjawan 2015 lalu menjadi belanjawan berimbang sebelum akhir tahun ini.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, berkata ketika ini defisit fiskal Kerajaan Negeri berjaya dikurangkan kepada RM670 ribu berbanding unjuran defisit sebanyak RM452 juta.
“Setakat ini Kerajaan Negeri sudah memperolehi pendapatan melebihi jumlah yang diunjurkan.
“Saya yakin dengan baki beberapa bulan sebelum berakhir 2015, kita akan capai belanjawan berimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Qurban Perdana Dato’ Menteri Besar Selangor ke Sabak Bernam sempena Hari Raya Aidil Adha di Masjid Sultan Muhammad Shah, Parit 10, di sini, hari ini.
Jelas Mohamed Azmin, beliau memutuskan untuk membentangkan belanjawan defisit bagi tahun 2015 selepas Kerajaan Negeri menjangkakan kelembapan ekonomi pada tahun ini.
Katanya, ketetapan itu diambil bagi membolehkan Kerajaan Negeri menjana ekonomi di negeri dengan pelbagai perbelanjaan pembangunan rakyat.
“Kerajaan Negeri juga berjaya menambah rizab kepada RM3.7 bilion dan ia adalah angka tertinggi yang pernah dicatatkan,” katanya.
-NR-