Categories
SELANGOR

Gelandangan ‘surau’ disantuni LZS

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 SEP: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni keluarga gelandangan yang sebelum ini menjadikan sebuah surau di Puchong sebagai tempat berteduh.

Menerusi laman facebooknya, LZS tampil menziarahi keluarga Suhaila Md Sahi, 32, pada 21 September lalu bagi menyalurkan bantuan kecemasan RM500.

Selain itu, keluarga berkenaan juga akan menerima bantuan deposit rumah dan sewa bulanan di samping bantuan lain bergantung kepada keperluan keluarga berkenaan.

GELANDANGAN SURAU“Pada masa sama, keluarga Suhaila kini dalam proses pengesahan sebagai asnaf fakir dan miskin di Selangor,” jelas LZS.

Sebelum ini, Suhaila dan lima anaknya ditanggung bekas suami, Muhammad Reduan Abdullah, 36 tahun.

Namun, selepas Reduan diberhentikan kerja, mereka kehilangan sumber pendapatan seterusnya memaksa Suhaila dan anak-anaknya tinggal di surau.

Kisah mereka menjadi viral di laman sosial dan mendapat perhatian pelbagai golongan netizen selepas seorang lelaki Cina, Kuan Chee Heng mula berkongsi nasib keluarga itu di laman Facebook.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.