Categories
SELANGOR

Kurangkan sisa pepejal, Projek Perintis Kitar Semula dilancar

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 20 SEP: Kerajaan Negeri melancarkan Projek Perintis Kitar Semula bagi mengurangkan kebergantungan dan memanjangkan hayat tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada.

Projek Perintis Kitar Semula itu dijalankan selama lapan minggu bermula 28 September hingga 22 November ini.

Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dipilih dengan melibatkan komuniti di kawasan PBT masing-masing.

cari sampah aPBT itu adalah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

“Kerajaan Negeri kini dalam perancangan untuk mewujudkan polisi pengurangan sisa bagi mengurangkan jumlah sisa kitar semula yang dihantar ke tapak pelupusan sampah.

“Aktiviti kitar semula kebanyakannya dilakukan pengusaha kitar semula persendirian, sekolah, NGO dan jabatan kerajaan tetapi di peringkat komuniti pula tahap aktiviti ini masih rendah hanya 11 peratus sahaja.

“Akibatnya hampir 20 peratus sisa pepejal di tapak pelupusan sisa pepejal terdiri daripada sisa kitar semula dan diharapkan pelaksanaan polisi ini dapat mengurangkan penjanaan sisa pepejal,” kata Hian Wah ketika melancarkan projek itu di Seksyen 7, Bandar Sungai Long di sini, semalam.

Jelas Hian Wah, projek itu juga membolehkan pihak beliau juga menjalankan kajian cara terbaik melaksanakan program kitar semula.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga boleh mempertimbangkan keperluan menaik taraf fasiliti, pemberian insentif dan memahami kekangan dihadapi PBT dan komuniti lebih mendalam.

Hian Wah juga berharap agar semua pihak terlibat memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang dua bulan berikut bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri dengan infrastruktur kelas pertama.

“Diharap penduduk dapat meneruskan amalan ini walaupun setelah projek perintis ini tamat pada bulan November nanti kerana apa yang dilakukan pada hari ini adalah untuk masa depan terutamanya demi generasi akan datang,” kata Hian Wah lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.