Categories
SELANGOR

MB : Tender terbuka pengurusan sampah dikekalkan

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 SEP : Proses tender terbuka untuk pengurusan sisa pepejal di Selangor akan diteruskan bagi memastikan ia tidak dimonopoli satu pihak sahaja.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pihaknya bersedia mengkaji semula harga kontrak ditawarkan bersesuaian dengan kerja pengurusan sisa pepejal yang semakin meningkat.

markshort mb4“Selangor menghasilkan 8,000 tan sisa pepejal sehari, namun hanya separuh dikutip dan dihantar ke tapak pengurusan sampah.

“Kita harus bersedia untuk mengurus peningkatan sampah yang berterusan dalam usaha menjayakan agenda makmur selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada seminar ‘Beyond 3R : A More Sustainable Solution For Selangor Waste Management’ di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), semalam.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata tanda aras atau piawaian penjagaan alam sekitar dan pengurusan sisa pepejal bertaraf dunia perlu diwujudkan di Selangor.

Katanya, Selangor memerlukan visi jangka panjang memandangkan negeri itu bakal menjadi tuan rumah kepada beberapa bandar raya mega dengan alam sekitar bersih dan jaringan bertaraf dunia.

“Dalam sesi dialog Belanjawan 2016, beberapa perkara dibincangkan dan Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) sudah melihat beberapa cadangan.

“Saya berharap usaha Kerajaan Negeri akan mendapat sokongan semua pihak untuk memastikan ia berjaya dilaksanakan,” katanya.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.