Categories
SELANGOR

Tiada aduan negatif, WHB urus SATS dengan baik

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 OGOS: Worldwide Holding Berhad (WHB) berjaya mengendalikan operasi Stesen Pemindahan Sisa Pepejal (SATS) di Seksyen 21 di sini, dengan baik di sepanjang tempoh lima tahun pengurusannya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata anak syarikat Kerajaan Negeri itu tidak pernah menerima aduan negatif maka tuduhan dibuat ke atasnya adalah tidak berasas sama sekali.

“Tuduhan Menteri Kesejahateraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, mengenai ketidakcekapan pengurusan WHB adalah satu fitnah dan tidak tepat.

“Ingin dimaklumkan bahawa sepanjang tempoh pengurusan tapak SATS, WHB tidak pernah menerima sebarang aduan tidak baik berkenaan pengurusan dan perkhidmatannya daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), KPKT dan agensi berkaitan pengurusannya,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Beliau berkata, di sepanjang tempoh lima tahun pengurusannya, WHB menerima lawatan lebih 10 kali daripada KPKT dan pelbagai agensi antaranya Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negera (JPSPN) Dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memberikan maklum balas baik.

“KPKT telah menempatkan dua pegawai SWCorp selama dua bulan bagi menjalani latihan pengurusan alam sekitar di SATS dan laporan pengoperasian serta penyelengaraannya diberikan kepada kementerian dibuat secara berkala.

“Surat aduan daripada KPKT berhubung ketidakpuasan pengoperasian dan penyelenggaraan SATS tidak pernah diterima WHB sepanjang tempoh lima tahun,” katanya.

Dalam laporan media, Noh berkata, KPKT akan segera membaiki stesen itu setelah mengambilalih operasinya pada akhir Julai lalu untuk memudahkan penghantaran sisa pepejal ke stesen oleh empat PBT yang kini menghantar sisa itu ke Tapak pelupusan di Jeram.

KPKT juga dikatakan menghentikan kontrak kontraktor dilantik Kerajaan Selangor yang tamat pada 21 Mei lalu kerana tidak berpuas hati dengan kerja dijalankan.

Dalam Sidang Dewan Negara, Timbalan Menteri KPKT, Datuk Halimah Mohamed Sadique menyatakan Kerajaan Selangor berhenti menggunakan SATS selepas Kerajaan Persekutuan mengambilalih operasinya pada Julai lalu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

MB : Tender terbuka pengurusan sampah dikekalkan

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 SEP : Proses tender terbuka untuk pengurusan sisa pepejal di Selangor akan diteruskan bagi memastikan ia tidak dimonopoli satu pihak sahaja.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pihaknya bersedia mengkaji semula harga kontrak ditawarkan bersesuaian dengan kerja pengurusan sisa pepejal yang semakin meningkat.

markshort mb4“Selangor menghasilkan 8,000 tan sisa pepejal sehari, namun hanya separuh dikutip dan dihantar ke tapak pengurusan sampah.

“Kita harus bersedia untuk mengurus peningkatan sampah yang berterusan dalam usaha menjayakan agenda makmur selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada seminar ‘Beyond 3R : A More Sustainable Solution For Selangor Waste Management’ di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), semalam.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata tanda aras atau piawaian penjagaan alam sekitar dan pengurusan sisa pepejal bertaraf dunia perlu diwujudkan di Selangor.

Katanya, Selangor memerlukan visi jangka panjang memandangkan negeri itu bakal menjadi tuan rumah kepada beberapa bandar raya mega dengan alam sekitar bersih dan jaringan bertaraf dunia.

“Dalam sesi dialog Belanjawan 2016, beberapa perkara dibincangkan dan Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) sudah melihat beberapa cadangan.

“Saya berharap usaha Kerajaan Negeri akan mendapat sokongan semua pihak untuk memastikan ia berjaya dilaksanakan,” katanya.

-NR-

Categories
SELANGOR

Anjur seminar cari penyelesaian isu sisa pepejal

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 SEP: Pengurusan sisa pepejal di Selangor akan melalui proses penambahbaikan dalam memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah, berkata seminar berkaitannya akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 10 September ini.

Dr Fahmi Ngah“Ia antara siri seminar yang kita jalankan selama ini bagi perbincangan dan rumusan mengenai isu sisa pepejal di negeri ini.

“Kita juga akan mendapat pandangan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berhubung misi dan visinya,” katanya kepada Selangor Kini.

Fahmi berkata, seminar itu akan menghimpunkan semua jabatan dan agensi kerajaan serta pihak berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita berharap seminar ini akan memberikan hasil rumusan positif ke arah kebaikan semua pihak terutama rakyat selaku pengguna,” katanya.

-NR-

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Beri Insentif Bangunan Hijau, Bangunkan Tenaga Diperbaharu

Elizabeth Kotak 3R PJ 01

SHAH ALAM 4 JULAI : Kerajaan Selangor menjunjung Perjanjian Cancun dengan melaksanakan beberapa program galakan dalam usaha memelihara alam sekitar dan menangani isu masalah pemanasan global.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping berkata, ia berdasarkan kerangka ditetapkan Kerajaan Persekutuan meliputi tiga program.

Iaitu Kecekapan Penggunaan Tenaga (Energy Efficiency – EE), Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy ? RE) dan Pengurusan Sisa Pepejal.

“Bagi program EE, Kerajaan Negeri akan memberikan insentif melalui diskaun kepada Kumpulan Wang Perkhidmatan Infrastruktur (ISF) untuk membangunkan bangunan hijau (Green Building).

“Bagi program RE, Kerajaan Negeri akan membangunkan mikro hidro di desa dan luar bandar yang mana salah satu tempat telah dibina berlokasi di Kampung Orang Asli Tanjung Rambai Genting Peras, Hulu Langat.

“Manakala bagi pengurusan sisa pepejal pula, Exco Kerajaan Tempatan dicadangkan untuk mengkaji projek ‘waste to energy’,” katanya menjawab soalan Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau berkata, lagi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga disyorkan untuk melaksanakan Garis Panduan Kejiranan Hijau.

Perjanjian Cancun dibuat di Cancun, Mexico pada 11 Disember 2010 adalah satu perjanjian oleh komuniti antarabangsa untuk menangani cabaran jangka masa panjang perubahan iklim dan pemanasan global secara kolektif dan komprehensif.

Bagi menangani isu perubahan iklim secara bersepadu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah menyediakan Dasar Perubahan Iklim Negara yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 20 November 2009.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng : Kerajaan Negeri Jimat Lebih RM 50 Juta Setahun Apabila Kutip Sampah Secara Terus

Lori Kompaktor sampah 2

SHAH ALAM 4 JULAI : Kerajaan Negeri berjaya menjimatkan kos melebihi RM53 juta setahun apabila Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor mengambil alih kutipan sampah daripada Alam Flora Sdn Bhd (AFSB).

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim berkata, kaedah membolehkan PBT mengurus kutipan sisa pepejal secara terus dengan melantik kontraktor yang dahulunya menjadi sub-kontraktor kepada AFSB.

“Penjimatan dicatatkan dalam masa setahun adalah sebanyak RM53,876,942.41 iaitu 11 PBT mencatatkan kos pengurusan sebanyak RM166,827,402.82 berbanding ketika dikendalikan AFSB sebanyak RM220,704,345.23.

“Dengan pengurusan sendiri juga PBT dapat memantau kerja pengendalian sampah secara terus selain pegawai atau kakitangan PBT yang terlibat dapat mempelajari dan menangani masalah pengurusan sisa pepejal di kawasan masing-masing.”

Teng berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau berkata, antara langkah proaktif untuk memastikan kutipan sampah berlaku secara efisyen adalah PBT mewujudkan talian hotline aduan sampah, skuad rayau dan Unit Tindakan Khas menjalankan kerja ‘back-up’ kutipan sampah.

Tindakan lain ialah perjumpaan PBT secara terus dengan kontraktor terlibat, pengezonan semula kawasan kendalian serta kutipan sampah dua kali dalam sehari di kawasan pusat bandar.