Categories
SELANGOR

Peranan DEIG dan MBI lebih jelas

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 SEP: Penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) adalah untuk memastikan struktur dan peranan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) lebih jelas dan efisyen sekaligus menyumbang secara signifikan kepada kerajaan Negeri.

Ketua Pegawai Operasi (MBI), Soffan Affendi Aminudin, berkata MBI dapat memberi lebih tumpuan kepada aspek pembangunan sosial rakyat melalui program seperti Hijrah, YAWAS dan Wifi Selangorku apabila DEIG beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun hadapan.

CEO.COO MBI“Tujuan penubuhan DEIG semestinya bagi memaksimumkan pelaburan strategik dalam kalangan anak syarikat MBI selain memperkasa dana kekayaan negeri.

“Seterusnya, hasil yang diperoleh akan digunakan semula bagi menjana pembangunan negeri dalam konteks Selangor melalui peranan yang akan dimainkan MBI sendiri,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi yang membangkitkan keperluan mewujudkan DEIG di bawah MBI.

Budiman berkata, penubuhan DEIG akan menyebabkan pertindihan peranan antara MBI dan DEIG melalui rancangan temubual Soal Jawab di TV3, semalam.

Bagaimanapun, Soffan berkata penubuhan kumpulan itu akan menjadikan MBI lebih efektif menguruskan program kebajikan rakyat, manakala DEIG sebagai syarikat induk pelaburan memfokuskan kepada proses rasionalisasi dan konsolidasi.

“Di dalam memacu objektif ini, sudah pasti salah satu elemen yang penting adalah aspek tadbir urus korporat dan ketelusan.

Pelancaran Darul Ehsan Investment Group di SACC MB (ASRI) “Bagi kami, ‘corporate governance’ adalah satu elemen yang sangat penting untuk memastikan penciptaan nilai yang mampan,” katanya.

Budiman turut mempersoalkan kewajaran meletakkan dua pengurusan kanan MBI ke dalam DEIG sebagai ahli lembaga pengarah.

Mengulas isu itu, Soffan berkata, ia adalah langkah untuk melaksanakan proses diagnostik di peringkat anak syarikat bagi tujuan perancangan strategik DEIG.

“Proses rasionalisasi dan konsolidasi adalah satu perjalanan yang tidak berlaku sekelip mata juga semudah disangka. Pada peringkat ini, kami perlu terlibat secara langsung dalam DEIG untuk mengenalpasti kekuatan, kelemahan, ancaman serta peluang untuk setiap GLC.

“Pada masa sama, kita juga giat mengadakan ‘talent acquisition’ bagi memastikan golongan profesional terlatih meneruskan agenda ketelusan dalam pengurusan DEIG,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.