Categories
SELANGOR

Program Advokasi tangani keganasan wanita di semua PWB

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 SEP: Program Advokasi mengenai keganasan terhadap wanita bakal diterapkan ke semua Pusat Wanita Berdaya (PWB) sebagai usaha meningkatkan lagi kesedaran dan kepentingan peranan semua pihak.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata Kerajaan Negeri sentiasa mengambil serius isu itu yang sering berlaku terhadap wanita.

Pusat Wanita BerdayaKatanya, melalui PWB wanita boleh diberi pendedahan secara akar umbi mengenai perkara berkaitan dengan lebih mudah dan menyeluruh.

Beliau berkata berdasarkan statistik polis, sebanyak 4,807 kes keganasan rumah tangga dilaporkan pada 2014.

“Manakala 2013, sebanyak 4,123 kes dan 3,488 kes bagi 2012. Peningkatan kes itu disebabkan tahap kesedaran wanita meningkat dengan sistem sokongan yang disediakan.

“Kerajaan Negeri berpandangan lebih ramai wanita yang pernah dianiaya sebelum ini, berani tampil membuat aduan bagi mendapatkan bantuan dan pembelaan,” katanya kepada SelangorKini selepas merasmikan program advokasi terhadap wanita peringkat negeri Selangor, di Dewan Jubli Perak, di sini.

Daroyah berkata adalah membimbangkan apabila statistik kes itu sudah mencatatkan peningkatan 12 peratus dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

“Ia menjadikan sebanyak 2,576 kes dilaporkan berbanding 2,295 tahun lalu bagi tempoh sama.

“Kita percaya angka ini sebenarnya lebih banyak namun tidak dilaporkan atas pelbagai alasan seperti malu, takut kepada pelakunya dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu memainkan peranan dan bertanggungjawab menangani masalah itu termasuk langkah pencegahan.

“Kita tidak hanya boleh mengharapkan pihak kerajaan sahaja. Badan Bukan Kerajaan (NGO) mahupun masyarakat perlu diberikan pendedahan dan penyediaan persekitaran selamat untuk mereka,” katanya.

Dalam program itu, peserta didedahkan mengenai bentuk bantuan dan maklumat yang boleh wanita didapati membabitkan polis, Hospital, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Biro Sokongan Keluarga dan Biro Bantuan Guaman Selangor.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.