Categories
SELANGOR

Semak semula program pemutihan kilang haram

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 1 SEP: Program pemutihan kilang tanpa kebenaran di Selangor akan disemak semula pada suku akhir tahun ini bagi memastikan masalah itu dapat diselesaikan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata setakat ini lebih separuh kilang haram sudah melalui proses pemutihan sejak 2008.

Katanya, ia dilaksanakan melalui beberapa dasar dan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pejabat tanah dan daerah.

kilang haram sg buloh 01“Kita juga memberi insentif dan kelonggaran kepada pemilik kilang haram dengan memudah cara program pemutihan.

“Jika tempoh pemutihan tamat, kilang yang gagal akan diambil tindakan penguatkuasaan di bawah undang-undang pentadbir tanah dan PBT,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Ean berkata, Kerajaan Negeri memberi kelonggaran kepada pengilang melalui tawaran diskaun 50 peratus ke atas premium tanah dan pelan pembangunan untuk memudahkan usaha terbabit.

Katanya, semua PBT mengguna pakai Garis Panduan Penyeragaman Pelaksanaan Pemutihan Kilang bagi memudahkan pemilik kilang haram mendapat kelulusan bangunan.

ean yong hian wah“Kita tidak mahu menggunakan kekerasan dengan meroboh kilang atau memaksa mereka. Jadi, perbincangan akan dilakukan sebelum tempoh arahan pindah dikeluarkan,” katanya.

Sebanyak 1,000 permohonan tukar syarat kilang sudah diluluskan berdasarkan rekod dikeluarkan Pejabat Tanah dan Daerah Selangor, sehingga Disember 2014.

Daerah Petaling mencatat angka tertinggi permohonan tukar syarat iaitu 686 kilang diikuti Klang (55), Hulu Langat (158), Kuala Langat (71), Gombak (19), Kuala Selangor (5), Hulu Selangor (5), Sepang (1), manakala tiada permohonan dari Sabak Bernam.

Leave a Reply

Your email address will not be published.