Categories
EKSKLUSIF SELANGOR

Wawancara: PWB lengkapi pemerkasaan wanita Selangor

Pelbagai program dilaksanakan Kerajaan Negeri di bawah Portfolio Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga bagi meperkasa dan memberdaya golongan wanita di Selangor tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Exconya, Dr Daroyah Alwi merungkai kaedah dan program yang dilaksanakan bagi pembangunan wanita di Selangor melalui sesi wawancara khas bersama Wartawan Selangor Kini, Syasya Sufian di pejabatnya, pada 15 September lalu.

Apakah bentuk bantuan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk membantu golongan wanita di Selangor?

Kerajaan Negeri melaksanakan program melalui Pusat Wanita Berdaya (PWB) sebagai wadah atau landasan untuk golongan wanita di Selangor. PWB diberi peruntukan oleh Majlis Mesyuarat Khas Kerajaan Negeri (MMKN) untuk melaksanakan pelbagai aktiviti dengan perlantikan penyelia dan penyelaras di setiap 56 DUN. Dengan pelbagai program yang dilaksanakan, kita dapat menarik wanita di dalam dan luar bandar kerana setiap DUN juga terdapat persatuan wanita seperti biro wanita masjid.

Melalui kaedah itu, PWB bergabung bersama persatuan wanita supaya apa yang ingin Kerajaan Negeri capai untuk membantu mereka dapat dilaksanakan bersama di DUN masing-masing. Saya memberikan ruang kepada penyelia yang dilantik untuk melaksanakan program bersesuaian seperti di kawasan kampung dengan memperbanyakkan aktiviti kursus menjahit, memasak, kraf tangan dan gubahan. Manakala, aktiviti akan lebih cenderung kepada kursus keusahawan, ekonomi atau bersesuaian di kawasan bandar yang terdiri daripada berbilang bangsa dan lebih berpendidikan.

IMG-20150915-WA0014Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan tiga modul yang diterapkan untuk diberikan kepada golongan wanita untuk dilaksanakan di setiap DUN. Kursus itu adalah Program Kepimpinan Wanita, Program Pemahaman Gender dan Program Pegurusan Kewangan. Untuk jangkamasa akan datang, kita sedang merangka untuk menambah lagi kursus lain seperti pengetahuan ekonomi.

Melalui program yang dilaksanakan, sebilangan wanita berjaya menambah pendapatan seperti program masakan apabila mereka mula berjinak menjual makanan dengan resepi baru yang dipelajari daripada kursus masakan. PWB akan terus memainkan peranan untuk membantu mereka mengetengahkan lagi perniagaan di samping dapat memperbaiki ekonomi isi rumah.

Bagaimana potfolio ini memastikan program PWB beroperasi dengan lancar di setiap 56 DUN dengan bajet yang diperuntukkan?

Setakat ini, setiap DUN beroperasi dengan lancar dan sentiasa dipenuhi aktiviti menarik. Salah satu cara adalah saya memastikan mereka bergerak aktif dan penyelia perlu menghantar kertas kerja bagi setiap program yang akan dijalankan.

Selain itu, setiap bulan kita akan adakan mesyuarat bersama 56 penyelia untuk membincangkan segala permasalahan dan penyelesaian. Di samping itu, saya akan menyampaikan amanat dan taklimat supaya semua penyelia dapat berkomunikasi dengan baik. Penyelia akan membentangkan aktiviti yang sudah atau tidak dapat dilaksanakan kepada saya melalui mesyuarat itu.

Di samping itu, penyelia juga diberi peluang mengutarakan pelbagai idea menarik yang ingin mereka laksanakan di DUN masing-masing.

Prestasi penyelia akan sentiasa dipantau melalui keaktifan aktiviti yang dijalankan. Jika PWB di DUN yang dilantik tidak menjalankan aktiviti mingguan melebihi tiga kali berturut-turut, perkhidmatan penyelaras itu akan ditamatkan dan akan diganti dengan yang baru.

Bagaimana dengan penyertaan wanita dalam program Hijrah? Adakah sambutan menggalakkan?

wanita 4Penyertaan wanita dalam program Hijrah amat menggalakkan kerana lebih 70 peratus pemohon dari kaum wanita. Setakat ini, lebih 10,000 menerima bantuan dan kebanyakan mereka yang memohon adalah untuk perusahaan makanan. Sama ada produk makanan, katering, restoran, gerai jualan dan peniaga pasar malam.

Selain itu, ada diantara mereka membuat perkhidmatan kecantikan, terapi, urutan dan perniagaan secara atas talian.

Kita turut melantik seorang pegawai untuk memantau peserta Hijrah di DUN masing-masing. Mereka akan berjumpa setiap minggu dengan peserta untuk mengutip pinjaman, di samping mengenal pasti permasalahan jika peserta memerlukan khidmat nasihat untuk perkembangan perniagaan mereka.

Ssehingga kini, 98 peratus peserta memberi komitmen dalam membuat bayaran serta menyalurkan kerjasama yang baik kepada pegawai Hijrah.

Perancangan untuk jangka masa panjang yang Kerajaan Negeri akan laksanakan bagi membantu golongan wanita di Selangor melalui PWB?

Tahun depan, kita dalam perancangan menyediakan tempat atau pusat pengumpulan untuk produk PWB di setiap daerah. Saya akan usaha mendapatkan premis daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk diberikan kedai bagi menempatkan produk itu.

Ia bertujuan supaya segala kraftangan, gubahan atau masakan seperti kek dan kuih dapat dijual kepada orang ramai.

Dengan terlaksananya hasrat itu, kita dapat membantu golongan wanita memasarkan produk hasil buatan tangan mereka, di samping menambah pendapatan memandangkan kos sara hidup semakin meningkat dan membebankan rakyat terutama ibu tunggal.

Apa perkembangan terkini Program Skim Kesihatan Wanita dan bagaimana sambutannya?

sihat 4Kerajaan Negeri menawarkan skim pemeriksaan mammogram secara percuma kepada semua wanita di Selangor yang layak dan berumur 35 tahun ke atas. Tujuan utama adalah bagi memastikan kesihatan wanita terjaga dan dalam keadaan optimum memandangkan ramai golongan itu yang bekerja dan berusaha untuk menyara keluarga.

Bagaimanapun, sebelum ini sambutan agak perlahan kerana kita hanya ada satu tempat/panel untuk melaksanakan mammogram itu.

Baru-baru ini, Kerajaan Negeri sudah meluluskan penambahan lima lagi pusat pemeriksaan yang menjadikan kesemuanya enam pusat pemeriksaan. Antara pusat yang mendapat kelulusan adalah KPJ, BP Lab, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

daroyah1Kerajaan Negeri berpendapat program itu adalah salah satu tanggungjawab sosial yang harus dimanfaatkan oleh semua wanita Selangor.

Dengan adanya penambahan tempat pemeriksaan, kita berharap dapat melancar dan memudahkan lagi wanita untuk mendapatkan pemeriksaan di beberapa cawangan yang tersenarai. Dan dalam satu-satu masa, DUN juga boleh menghantar wanita untuk membuat pemeriksaan mammogram.

Apakah bentuk program Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) untuk membantu wanita teraniaya?

Lima hospital besar yang dijadikan tempat perintis untuk OSCC antaranya Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Hospital Tanjung Karang.

Kerajaan Negeri prihatin akan nasib wanita, jadi kita menggalak dan menyarankan wanita yang teraniya untuk mendapatkan bantuan di hospital berkenaan. Kita mahu mereka tahu kita ada menyediakan OSCC dan jika mengalami penderaan mereka boleh terus membuat laporan polis dan OSCC juga menyediakan tempat tinggal.

Dalam pogram OSCC terdapat banyak agensi yang terbabit bagi membantu khususnya kepada golongan wanita teraniaya mendapatkan rawatan serta khidmat kaunseling.

Apakah harapan Kerajaan Negeri dalam memartabat dan memperkasa wanita di Selangor?

Kita berharap semua pihak terutama golongan wanita turun padang dan menyertai program yang dilaksanakan Kerajaan Negeri kerana ia sangat memberi manfaat kepada mereka termasuk dapat mengetahui dengan lebih jelas apa yang dirangka bagi pembangunan wanita Selangor.

Di samping itu, kita juga dalam proses membantu wanita malang terutama yang terbabit dengan penderaan untuk mereka berani tampil bagi mengatasi masalah yang membelenggu dengan menyediakan OSCC.

Kerajaan Negeri juga mengharapkan semua wanita tidak kira di bandar atau luar bandar mendapat manfaat daripada setiap program yang dianjurkan, sekali gus dapat memberikan idea untuk menambah pendapatan isi rumah melalui ilmu yang diperoleh daripada aktviti yang disertai mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published.