Categories
NASIONAL

Belanjawan 2016: Pengurangan peruntukan pendidikan jejas IPT dan mahasiswa

Oleh: AFIX REDZUAN

BESTARI JAYA, 25 OKT: Pengurangan peruntukan terhadap Kementerian Pengajian Tinggi bakal memberikan tekanan kepada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terutama dalam isu menyediakan kewangan awal pelajar memasuki universiti sebelum mendapatkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Anuar Ahmad, berkata keadaan itu bakal memberikan tekanan pelajar memberikan tumpuan terhadap pengajian.

universiti“Pengurangan ini memberikan tekanan teruk terutama kepada IPTA. Tetapi kerana UNISEL adalah IPTS, memang setiap tahun kita tidak dapat bajet daripada Kerajaan Persekutuan kecuali kupon membeli buku.

“Yang merisaukan kita di IPTS adalah pengurangan PTPTN sebanyak 15 hingga 25 peratus. Kita bimbang ia memberikan tekanan kepada pelajar dalam proses maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pemotongan peruntukan Kementerian Pengajian Tinggi dalam Belanjawan 2016.

Menurut jangkaan perbelanjaan Persekutuan, peruntukan untuk kementerian itu dipotong sebanyak RM2.4 bilion.

Unisel-Prof AnuarBerdasarkan belanjawan dibentang Menteri Kewangan pada 23 Oktober lalu, kementerian hanya menerima RM13.378 bilion (5.0 peratus daripada keseluruhan belanjawan) berbanding RM15.785 bilion (5.8 peratus) dalam Belanjawan 2015.

Penurunan itu paling besar berlaku di Kementerian Pengajian Tinggi sejak Najib membentangkan belanjawan pertamanya pada 2010.

Bagi mengatasi masalah itu, Kerajaan Selangor menyediakan bantuan Anak Masuk Universiti kepada pelajar dengan peruntukan RM1,000 selain pemberian geran kewangan sementara menunggu PTPTN.

Katanya, tindakan itu perlu dicontohi Kerajaan Negeri lain bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian.

“Pelajar  menghadapi kesempitan wang, kita benarkan mereka menangguhkan pengajian sebanyak dua kali dalam tempoh pengajian. Mereka boleh keluar bekerja terlebih dahulu. Kita pantau mereka supaya bekerja di dalam bidang mereka pelajari,” katanya.

Menyentuh Istiadat Konvokesyen ke-10 UNISEL semalam beliau melahirkan kegembiraan terhadap kejayaan universiti memiliki seorang alumni berjaya dalam bidang korporat, Tan Sri Lim Wee Chai, 57.

Beliau merupakan Pengerusi Top Glove Corporation Bhd yang dianugerahkan Doktor Falsafah Pengurusan dalam istiadat itu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.