Categories
SELANGOR

Kesukaran hidup bukan penghalang kejayaan

Oleh: AFIX REDZUAN

BESTARI JAYA, 25 OKT: Pemergian ibu tercinta seawal usia tujuh tahun menjadi pemangkin semangat buat Muhammad Amar Shah Mohsen Maninder, 26, penerima Anugerah Canselor pada Istiadat Konvokesyen Ke-10 Universiti Selangor (UNISEL) membalas pengorbanan bapanya membesarkan beliau bersama dua adik beradik lain.

Lebih menyentuh perasaan, bapanya sanggup menjual kereta kesayangan dan berjalan kaki ke tempat kerja demi menampung persekolahan anak-anak meskipun terpaksa memikul tanggungjawab berseorangan.

konvo 2 UniselMenceritakan perjalanan berliku graduan Fakulti Komunikasi dan Media kelahiran Singapura ini percaya setiap peluang yang terhidang perlu dimanfaatkan sebaiknya dengan usaha bersungguh-sungguh sambil bertawakkal kepada Allah SWT.

“Secara jujurnya saya gembira menerima Anugerah Canselor ini namun saya percaya ramai lagi kawan-kawan yang mungkin layak.

“Terima Kasih kepada fakulti kerana telah banyak membimbing saya dan pihak universiti yang memberikan peluang untuk belajar di sini,” katanya kepada Selangor Kini.

Bercerita lanjut mengenai kejayaannya, wartawan akhbar The Sun ini mengakui sukar membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya namun pengalaman lalu mengajar beliau menguruskan masa lebih baik.

Ketika ditanya mengenai rahsia pembelajaran sehingga beliau berjaya memperoleh HPNG 3.96 beliau berkongsi dua panduan, hormat pensyarah dan menyiapkan tugasan dengan sebaik mungkin.

“Banyak perkara yang saya belajar di UNISEL dapat dimanfaatkan dalam industri (media). Saya rasa ilmu yang dipelajari sangat berharga dan sedikit sebanyak membantu menyesuaikan diri dalam alam pekerjaan,” katanya yang mula bertugas secara tetap sejak Jun lalu.

Atas kecemerlangan menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Komunikasi (Kewartawanan), beliau menerima hadiah wang tunai RM5,000 beserta trofi pusingan Anugerah Canselor tajaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.