SHAH ALAM, 1 OKT: Sekurang-kurangnya tiga tahun diperlukan Indonesia bagi menangani kegiatan pembakaran ladang dan hutan di negara itu, sekali gus menyelesaikan masalah jerebu yang saban tahun melanda negara jiran mereka.
Presidennya, Joko Widodo, berkata mustahil masalah kebakaran hutan dapat ditangani dalam masa singkat dan tempoh tiga tahun memadai bagi melihat pencapaian usaha mengatasi masalah berkenaan.
Katanya, Indonesia sudah melakukan yang terbaik untuk menangani masalah jerebu yang memberi kesan kepada negara jiran terutama Malaysia dan Singapura.
“Antara usaha yang sedang dijalankan ialah mengerah 3,700 anggota tentera dan 8,000 polis, serta empat pesawat untuk memadamkan kebakaran.
“Kita juga mengambil tindakan segera membina terusan di tanah ladang supaya sentiasa basah dan tidak mudah terbakar,” katanya dipetik Bernama.
Beliau berkata demikian dalam wawancara siaran BBC Indonesia seperti yang dipetik portal berita atas talian tempatan semalam.
Presiden Indonesia yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu berkata pihak berkuasa telah menahan beberapa individu dan pemilik syarikat yang dipercayai terbabit dengan aktiviti pembakaran hutan dan ladang bagi tujuan penanaman semula.
Kebakaran hutan dan kawasan pertanian kini melanda beberapa wilayah Indonesia seperti Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan serta Kalimantan Timur.
Pembakaran besar-besaran hutan dan tanah pertanian dipercayai dilakukan pihak tertentu sebagai cara mudah membuka kawasan pertanian baharu dan syarikat pelaburan Malaysia dan Singapura sering dikaitkan kononnya sebagai pihak yang terbabit.
-NR-