Oleh : AFEEQA AFEERA
SABAK BERNAM, 2 OKT : Ban Sungai Tengar yang pecah ekoran fenomena air pasang besar tempoh hari akan dibina semula menggunakan struktur batuan untuk pengukuhan.
Adun Sabak, Sallehen Mukhyi, berkata ia bagi menggantikan cerucuk batang kelapa yang tidak lagi sesuai digunakan berikutan sungai itu sering membentuk gelombang kuat.
Katanya, kerja pembaikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor sudah bermula dan dijangka siapa dalam tempoh terdekat.
“Kita harap kejadian sama tidak berulang kerana kawasan itu adalah laluan kapal besar dan terdedah kepada hakisan tanah.
“Apabila JPS membina benteng menggunakan batu seperti di tepi laut, maka risiko untuk air melimpah atau ban pecah akan berkurangan,” katanya kepada Selangor Kini.
Bagaimanapun, Sallehen berkata limpahan air sungai itu tidak terlalu kritikal hingga menjejaskan kediaman penduduk atau jalan raya.
“Sekarang ini kerja pembaikan sedang dibuat, jadi tiada masalah walaupun limpahan air berlaku,” katanya.
Pada masa sama, katanya Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) memperuntukkan untuk membina benteng sepanjang 33 kilometer (km) bermula daripada Sungai Lang ke pekan Sabak.
Katanya, projek itu akan bermula pada tahun depan dengan pelaksanaan secara berperingkat.
-NR-