Categories
KENYATAAN MEDIA

Kerajaan Persekutuan perlu laksana pembaharuan Parlimen

Oleh: Sim Tze Tzin

Dewan Rakyat Parlimen akan bersidang mulai minggu depan iaitu Oktober 19, 2015. Salah satu agenda yang penting selain isu 1MDB dan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri adalah agenda pembaharuan parlimen atau parliament reform yang dicadangkan oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Parti KEADILAN ingin mengulangi sokong penuh ke atas usaha Speaker Dewan Rakyat untuk melakukan pembaharuan parlimen.

Pada bulan Mei yang lalu, Speaker Dewan Rakyat dilaporkan ingin meletak jawatan kerana kecewa dengan pengurusan dan kewibawaan parlimen. Beliau berkata parlimen seolah-olah “Rubber Stamp”.

Tetapi beliau menarik balik surat letak jawatan selepas perdana menteri menjanji akan melaksanakan parliament reform. Menteri dalam JPM Datuk Azalina Othman juga berkata kerajaan komited kepada agenda pembaharuan parlimen dan beliau akan membawa isu tersebut ke kabinet.

parlimentAntara cadangan parlianment reform yang dicadangkan oleh Speaker kepada kerajaan adalah seperti berikut:

1. Memansuhkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal-ehwal parlimen

2. Mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 [Akta 394] (Parliament Service Act) dan menggubal Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa).

3. Menubuhkan Jawatankuasa tetap parlimen atau parliament select committee.

4. Meningkatkan infrastruktur parlimen ke tahap seperti bangunan di Putrajaya atau Palace of Justice

5. Mengadakan Sesi Soal Jawab Perdana Menteri atau Prime Minister question time.

Sebenarnya isu pembaharuan parlimen bukan perkara yang baru. Sejak tahun 2011, suatu Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Parlimen telah dibentuk bagi mengkaji penggubalan semula Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen, Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237] dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Semakan 1988) [Akta 347].

Jawatankuasa ini telah bersidang sebanyak 5 kali. Ahli-ahli JK ini dipengerusikan oleh bekas YB Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat YB Datuk Dr Wan Junaidi dan terdiri daripada Ahli YB Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Laporan dan cadangan jawatankuasa tersebut telah diserah kepada kerajaan pada tahun 2012, tetapi tiada tindakan selanjutnya.

Tetapi kini, keadaan politik telah berubah, memandangkan bahawa sekarang Speaker, Perdana Menteri, Menteri dan juga ahli-ahli parlimen pembangkang semuanya menyokong penuh agenda pembaharuan parlimen.

Maka tibalah masanya, kerajaan melaksanakan janji-janji perubahan yang dijanjikan kepada Speaker Parlimen bahawa kerajaan akan mengangkat kewibawaan dan kebebasan institusi Parlimen. Pada mesyuarat kabinet 10hb April 2015, kabinet juga telah membincangkan isu ini dan melantik timbalan perdana menteri untuk melaksanakan cadangan-cadangan yang telah diluluskan.

Memandangkan semua pihak telah bersedia menyokong perlaksanaan pembaharuan parlimen, maka parti KEADILAN mendesak kerajaan dan Menteri dalam JPM Datuk Azalina membentangkan undang-undang yang membawa pembaharuan parlimen dalam sesi parlimen ini untuk diluluskan.

* Sim Tze Tzin adalah Pengarah Strategi Parti KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.