Categories
SELANGOR

MBSA tawar diskaun kompaun 50%

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 OKT: Orang Kena Kompaun (OKK) berpeluang menikmati diskaun sehingga 50 peratus sempena Kempen Pengurangan Kompaun Siri 2 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata kempen berkenaan bermula 1 November hingga 31 Disember ini.

Katanya, ia bertujuan membantu dan menggalakkan OKK menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan.

mbsa saman“Ini termasuk kompaun kesalahan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 seperti tidak mempamerkan kupon kenderaan dan tidak meletakkan kenderaan di petak disediakan.

“Untuk makluman, MBSA bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menyenarai hitam pesalah yang gagal menyelesaikan kompaun menerusi sistem ‘I-Blacklist’,” katanya dalam kenyataan media.

Antara jenis kompaun yang layak mendapat pengurangan sehingga 50 peratus adalah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005 dan Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007.

Kompaun lain termasuk Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007.

Shahrin berkata, pembayaran kompaun boleh dibuat di Wisma MBSA, Seksyen 14 atau cawangan lain di Sungai Buloh, Kota Kemuning dan Setia Alam.

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, MBSA di talian 03-5522 2882 atau pun layari laman sesawang MBSA di www.mbsa.gov.my.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.