Categories
SELANGOR

UNISEL terima peruntukan besar RM20.9 juta

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 NOV: Universiti Selangor (UNISEL) mendapat peruntukan besar RM20.9 juta bagi 2016 bertujuan membina jenama unggul bagi institusi pengajian tinggi negeri sekali gus meletakkannya di peta pendidikan serantau.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata anjakan paradigma dalam sistem pendidikan perlu dilakukan dalam menghadapi cabaran masa kini.

Katanya, usaha ini menuntut sistem pendidikan holistik untuk membentuk graduan cemerlang dalam akademik dan berakhlak tinggi.

Pembangunan2“UNISEL berpotensi besar memainkan peranan mencorak pembangunan negeri untuk mencapai visi Smart Selangor.

“Atas komitmen itu, RM 60 juta pemberian sudah disalurkan pada 2014 untuk baikpulih sistem pembetungan dan asrama.

“Pada 2016, Kerajaan Negeri bercadang menyalurkan RM20.9 juta untuk membiayai pembayaran balik sukuk BaIDS,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Selain itu, Kerajaan Negeri juga meneruskan pemberian Dana Bantuan Sara Diri Anak Selangor sebagai bantuan awal kepada mahasiswa UNISEL dan KUIS dengan peruntukan berjumlah RM2 juta.

PENDIDIKAN GRAFIKProgram Biasiswa Selangorku juga diteruskan dengan dana RM10 juta melalui Tabung Amanah manakala program ‘Brain Bank’ iaitu RM5 juta.

“Bagi memastikan lebih ramai anak Selangor terima manfaat, Kerajaan Negeri bersetuju syarat kelayakan pendapatan keluarga diubah daripada RM3,000 ke RM5,000 sebulan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, bermula 2016 UNISEL mengiktiraf Sijil Unified Examination Certificate (UEC) yang diperkenalkan oleh Gabungan Persatuan Ahli Lembaga-Lembaga Sekolah Cina (Dong Zhong).
“Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan besar dimainkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dalam pembangunan modal insan.
“Statistik menunjukkan seramai 3,000 pelajar menamatkan pelajaran dengan sijil UEC setiap tahun,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.