Categories
SELANGOR

Peruntukan RM10 juta perluas Bas ‘Smart Selangor’

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 OKT: Perkhidmatan Bas ‘Smart Selangor’ diperluas ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan peruntukan RM10 juta.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), berkata RM3.5 juta dibelanjakan sebelum ini untuk program sama di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Bajet 2016 Smart BAS“Perkhidmatan ini bertujuan mengurangkan penggunaan pengangkutan persendirian sebagai langkah pengurangan karbon dan menuju ke arah “Negeri Hijau”.

“Ia mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pelajar universiti, pekerja kilang dan penjawat awam,” katanya ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2016 di Dewan Negeri Selangor (DNS) petang ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM990,000 untuk Pelan Induk Pengangkutan Awam bagi meneliti dan merangka aspek sistem pengangkutan awam serta sistem jaringan jalan raya dan dijangka siap pada Disember 2015.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga aktif berbincang dengan Prasarana Malaysia Berhad berhubung cadangan pembangunan Projek Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT 3) dari Bandar Utama ke Johan Setia.

Katanya, laluan sejauh 36km itu dijangka mampu menampung kapasiti 70 ribu penumpang sehari menjelang 2020.

“Kerajaan Negeri perlu beranjak kepada sistem pengangkutan awam bersepadu, berkapasiti tinggi dan mampan serta mesti diselaraskan dengan penggunaan tanah optima.

“Pelan struktur sistem pengangkutan awam perlu mengambil kira pandangan ramai, keperluan pertumbuhan baru, kepadatan penduduk dan zon Pembangunan Berorientasi Transit (TOD),” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.