Categories
SELANGOR

Peruntukan RM15 juta kajian bangun Sungai Klang

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 OKT: Fasa kajian komprehensif pembangunan Sungai Klang bakal dimulakan pada 2016 dengan peruntukan RM15 juta.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) berkata kos berkenaan dibiayai secara bersama oleh lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkongsi Sungai Klang.

Sungai KlangKatanya, PBT terbabit adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Kerajaan Negeri menggesa swasta bersama melaksanakan perancangan memajukan tebing sungai dan kawasan sekitar koridor sungai.

“Usaha ini mampu mengatasi masalah pembuangan sampah bagi memastikan aliran sungai tidak terganggu, mengelak banjir, meningkatkan kualiti air sungai, memelihara kelestarian sumber air dan biodiversiti sungai serta alam sekitar,” katanya ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2016 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Program pembangunan Sungai Klang bermula pada 2015 dengan peruntukan RM9 juta bagi melaksanakan kerja seperti membersih dan mengutip sampah, membina ‘logboom’, membeli ‘trash skimmer’, membina serta memasang ‘waste trap’ di 48 kunci air.

Mengambil contoh kemajuan Sungai Cheonggyecheon di Seoul Korea, Mohamed Azmin yakin usaha itu mampu mengubah Sungai Klang menjadi nadi pertumbuhan ekonomi.

“Sungai Klang menjadi mercu tanda menjana pertumbuhan baru dan mencetus ekosistem ekonomi maritim yang menghubungkan bandar utama di Selangor dan Kuala Lumpur menerusi jalan air, sepertimana Sungai Rhine menghubungkan beberapa negara di Eropah,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.