Categories
SELANGOR

SMK Tinggi Kajang juara Piala Dato’ Mokhtar Dahari

Oleh: AFIX REDZUAN

KELANA JAYA, 11 OKT: Jaringan tunggal Aiman Ariff Suffian sudah cukup untuk menobatkan SMK Tinggi Kajang selaku juara Piala Dato’ Mokhtar Dahari 2015 selepas menewaskan SMK Meru dengan jaringan 1-0.

Meskipun tidak menguasai perlawanan, pemain SMK Tinggi Kajang berjaya memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol selepas Aiman Ariff berjaya melepasi perangkap offside menewaskan penjaga gol SMK Meru untuk jaringan tunggal perlawanan.

MB hadiri Bola Sepak Piala Mokhtar Dahari (7)Lebih manis kejayaan SMK Tinggi Kajang diiringi dengan rekod cemerlang tanpa bolos sejak pusingan pertama kejohanan.

Namun perlawanan akhir yang berlangsung di Padang Kompleks Sukan PKNS SS7 dicemari dengan satu insiden kad merah kepada pemain SMK Tinggi Kajang, Muhammad Arash Mazlan selepas mengasari pemain lawan.

Perlawanan itu turut disaksikan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang turut menyampaikan hadiah kemenangan kepada pasukan bertanding sambil diiringi Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir dan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari (PKR).

Selain itu, penjaga gol SMK Tinggi Kajang Sya’ari Abd Hamid, dipilih selaku penjaga gol terbaik manakala Hazim Mirza Mohd Yusri dipilih selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan sembilan gol.

Sementara SMK Sultan Sulaiman menduduki tempat ketiga kejohanan selepas menewaskan SMK La Salle 2-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Piala Dato’ Mokhtar Dahari 2015 merupakan penganjuran tahun kedua hasil cetusan ilham DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sebanyak 32 pasukan dipilih bertanding dari seluruh daerah Selangor selepas melepasi peringkat saringan dalam kejohanan yang berlangsung selama sebulan.

Kumpulan Perangsang Sdn Bhd selaku penganjur utama memberikan tajaan RM150,000 dan ditampung selebihnya oleh pihak berkuasa tempatan Selangor sebanyak RM53,000.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.