Categories
SUKANKINI

Perlawanan akhir Piala Mokhtar Dahari dijangka sengit

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 9 JULAI: Perlawanan akhir Kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari (PDMD) bawah 18 tahun yang akan berlangsung pada 12 Julai ini di Stadium Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya dijangka sengit.

Pengerusi Kejohanan, Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Emran Kadir berkata, perlawanan itu menyaksikan pertarungan antara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Shah Alam dan bekas juara siri kelima SMK Tinggi Kajang.

“Kejohanan itu menjadi landasan terbaik bagi mencungkil bakat pemain bola sepak yang berpotensi ke peringkat lebih tinggi.

“Kita lihat keseimbangan pasukan yang baharu pertama kali layak (SMK Seksyen 7) yang turut mempamerkan aksi permainan berkualiti,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Emran berkata, kejohanan itu ilham Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menemukan 32 buah sekolah terbaik di seluruh negeri.

“Ia juga selaras titah baginda yang mahu melihat Selangor konsisten dalam melahirkan pemain berbakat di peringkat muda.

“Kita berharap bakat muda di Selangor ini akan menyerlah di persada bola sepak negara juga antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru ibu bapa, pegawai serta kakitangan juga jabatan pendidikan daerah untuk hadir sama memeriahkan perlawanan akhir berkenaan.

Categories
SUKANKINI

SMK Dato’ Harun juara Piala Dato’ Mokhtar Dahari

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 21 MEI: Sekolah Menengah Dato’ Harun muncul juara Piala Dato’ Mokhtar Dahari selepas menewaskan Sekolah Menengah Saujana Impian dengan tiga gol berbalas satu malam tadi.

Gol pasukan Sekolah Menengah Dato’ Harun dijaringkan oleh pemain berjersey nombor empat, Muhammad Hakimie Nor Wahid; berjersey nombor sembilan, Muhammad Faris Hafiz Azhar dan pemain berjersey bernombor 10, Ahmad Danial Ahmad Azri.

Sementara itu gol saguhati pasukan Sekolah Menengah Saujana Impian pula dijaringkan oleh pemain bernombor 17, Abdul Haqim Rozmi.

Manakala tempat ketiga kejohanan pula dimenangi oleh pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Kajang selepas menewaskan pencabarnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rahman Putra dengan jaringan 2-1.

Kumpulan PerangsangKejohanan kali ini turut menobatkan pemain berjersey nombor lima Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Harun, Muhammad Firdaus Abdul Razak sebagai pemain terbaik kejohanan dan Muhammad Faris pula dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan.

Piala dan hadiah kemenangan kejohanan yang ditaja Kumpulan Perangsang Selangor selama empat tahun berturut-turut itu disampaikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah khidmat tanggungjawab sosial (CSR) Kumpulan Perangsang Selangor, Mustafa Kamil Ayub ketika ditemui media berkata, kejohanan itu diadakan bagi mencungkil bakat baru sebagai pelapis di peringkat negeri dan juga kebangsaan.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR SUKANKINI

SMK Tinggi Kajang terus ungguli Piala Dato’ Mokhtar Dahari

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 19 SEPT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang sekali lagi muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari edisi ke-3, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Dato’ Emran Kadir berkata, juara bertahan itu membelasah SMK Sultan Sulaiman Shah dengan 4-0 pada perlawanan akhir.

“Kejohanan yang diilhamkan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertujuan mencungkil bakat baru dan melahirkan pemain untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

237a1420“Pada edisi lalu, seramai 47 pemain diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk digilap dengan enam daripada mereka diserap ke dalam skuad Piala Belia Selangor,” katanya.

Selaku juara, SMK Tinggi Kajang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dengan piala pusingan, trofi dan sijil, manakala naib juara memperoleh RM7,000 serta trofi dan sijil.

Keceriaan berganda buat pasukan juara apabila dua pemainnya, Nazrin Aiman Azmi dan Aieman Ab Jalil masing-masing dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik dan Penjaga Gol Terbaik.

Manakala, penjaring terbanyak dimenangi Syafizi Ikmal Md Khairuddin daripada SMK Sri Permata dengan 11 gol.

Sebanyak 32 pasukan sekolah menengah menyertai kejohanan kali ini melibatkan 576 pemain bola sepak remaja bawah 18 tahun.

Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) merupakan penaja utama kejohanan buat kali ketiga berturut-turut dengan tajaan bernilai RM150,000 di bawah program Rangsangan Sukan Selangor (RSS).

-NFN-

Selangor kenalpasti 40 bakat bolasepak di Piala Dato’ Mokhtar Dahari

Tahniah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang kerana berjaya menghadapi cabaran dari semua sekolah-sekolah menengah negeri Selangor yang telah menyertai kejohanan ini.

Categories
SELANGOR

SMK Tinggi Kajang juara Piala Dato’ Mokhtar Dahari

Oleh: AFIX REDZUAN

KELANA JAYA, 11 OKT: Jaringan tunggal Aiman Ariff Suffian sudah cukup untuk menobatkan SMK Tinggi Kajang selaku juara Piala Dato’ Mokhtar Dahari 2015 selepas menewaskan SMK Meru dengan jaringan 1-0.

Meskipun tidak menguasai perlawanan, pemain SMK Tinggi Kajang berjaya memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol selepas Aiman Ariff berjaya melepasi perangkap offside menewaskan penjaga gol SMK Meru untuk jaringan tunggal perlawanan.

MB hadiri Bola Sepak Piala Mokhtar Dahari (7)Lebih manis kejayaan SMK Tinggi Kajang diiringi dengan rekod cemerlang tanpa bolos sejak pusingan pertama kejohanan.

Namun perlawanan akhir yang berlangsung di Padang Kompleks Sukan PKNS SS7 dicemari dengan satu insiden kad merah kepada pemain SMK Tinggi Kajang, Muhammad Arash Mazlan selepas mengasari pemain lawan.

Perlawanan itu turut disaksikan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang turut menyampaikan hadiah kemenangan kepada pasukan bertanding sambil diiringi Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir dan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari (PKR).

Selain itu, penjaga gol SMK Tinggi Kajang Sya’ari Abd Hamid, dipilih selaku penjaga gol terbaik manakala Hazim Mirza Mohd Yusri dipilih selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan sembilan gol.

Sementara SMK Sultan Sulaiman menduduki tempat ketiga kejohanan selepas menewaskan SMK La Salle 2-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Piala Dato’ Mokhtar Dahari 2015 merupakan penganjuran tahun kedua hasil cetusan ilham DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sebanyak 32 pasukan dipilih bertanding dari seluruh daerah Selangor selepas melepasi peringkat saringan dalam kejohanan yang berlangsung selama sebulan.

Kumpulan Perangsang Sdn Bhd selaku penganjur utama memberikan tajaan RM150,000 dan ditampung selebihnya oleh pihak berkuasa tempatan Selangor sebanyak RM53,000.

EZY