SHAH ALAM, 17 OKT : Tinjauan Kebangsaan yang dijalankan Merdeka Center mendapati terlalu ramai pengundi Malaysia menolak kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ini.
Menurut tinjauan yang dilakukan pada Ogos lalu, sejumlah besar masyarakat Melayu tidak berpuas hati dengan hanya 31 peratus pengundi bangsa itu menyokong berbanding 52 peratus direskodkan pada Januari.
Singapore Straits Time hari ini melaporkan masyarakat Cina juga melahirkan rasa tidak puas hati dengan hanya 5 peratus penerimaan pentadbiran Najib, berbanding 11 peratus pada Januari.
Tahap penerimaan kebangsaan susut kepada 23 peratus ketika tinjauan Ogos berbanding 38 peratus pada Januari.
Tinjauan tersebut dijalankan beberapa minggu selepas rombakan Kabinet pada hujung Julai, apabila Najib menggugurkan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang lagi menteri, Datuk Seri Shafie Apdal.
Menurut akhbar Singapura itu, keputusan kaji selidik itu dibentangkan Merdeka Center kepada penganalisis sektor kewangan minggu lepas.
Badan bebas itu berkata, ia juga menunjukkan majoriti tinggi juga kecewa dengan cara kerajaan menangani ekonomi dengan hanya 17 peratus menyatakan persetujuan mereka selainĀ 78 peratus tidak berpuas hati dengan kerajaan berhubung keadaan ekonomi.
Rasa tidak puas hati rakyat berkisarkan isu kos sara hidup, pengangguran dan kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang berkuat kuasa pada April.
Prestasi ringgit juga menjadi faktor penyumbang, sebagai mata wang paling teruk di Asia tahun ini.
Kajian Merdeka Center itu secara konsisten sebelum ini menunjukkan rakyat Malaysia lebih mengambil berat isu kos sara hidup, pekerjaan dan perumahan berbanding politik.
-NR-