Categories
KENYATAAN MEDIA

SOSMA: Kenyataan Peguam Negara keliru & mengelirukan

Oleh: Datuk Mahfuz Omar

Kenyataan Peguam Negara yang berkaitan penahanan dan pendakwaan terhadap Datuk Seri Khairudin Abu Hasan dan Matthias Chang konon untuk mengelak kekeliruan, sebenarnya dengan sendirinya mendedahkan kekeliruan beliau terhadap SOSMA dan Kanun Keseksaan.

Lebih menjadi masalah bila mana beliau cuba pula untuk mengelirukan rakyat atas kekeliruan beliau tersebut.

MahfuzPeguam Negara dalam kenyataannya berkata Khairuddin dan Matthias Chang tidak didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tetapi mereka berdua didakwa di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan.

Saya hairan bagaimana Peguam Negara tidak menyedari bahawa Seksyen 124L tu adalah Kesalahan Keselamatan yang tertakluk di bawah SOSMA. Betul mereka tidak didakwa di bawah SOSMA tetapi kesalahan yang didakwa itu adalah kesalahan yang berkaitan dengan SOSMA.

SOSMA adalah akta prosedur bagaimana untuk menyiasat dan mendakwa apa apa kesalahan yang melibatkan kesalahan keselamatan.

Mengikut Seksyen 3 SOSMA, “kesalahan keselamatan” ertinya kesalahan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.

Jadual Pertama SOSMA menyatakan bahawa kesalahan keselamatan ialah kesalahan yang terkandung di dalam Bahagian VI dan Bahagian VIA Kanun Keseksaan.

Bahagian VI Kanun Keseksaan bermula dari Seksyen 121 sehingga Seksyen 130A. Seksyen 124L yang dituduh terhadap Khairuddin dan Matthias Chang berada di Bahagian VI Kanun Keseksaan justeru ianya tertakluk kepada SOSMA.

SOSMA ialah suatu Akta berkaitan prosedur bagaimana hendak menangkap, menyiasat dan membicarakan kesalahan orang-orang yang disyaki melakukan kesalahan kegiatan keganasan.

SOSMA bukan Akta Kesalahan. Ianya Akta Prosedur. Kesalahan melibatkan SOSMA diperuntukkan di dalam Kanun Keseksaan di Bahagian VI dan VIA.

Justeru, saya minta Peguam Negara mohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kekeliruan beliau dan percubaan bodoh beliau untuk mengelirukan rakyat Malaysia atas isu ini.

Saya juga meminta Peguam Negara membetulkan kembali kenyataan beliau dan membuat perakuan yang Khairudin dan Matthias Chang didakwa di bawah Kanun Keseksaan yang membabitkan kesalahan di bawah SOSMA atas tuduhan kononnya cuba sabotaj Perbankan Malaysia dan Sistem Kewangan Negara, dan memperakui yang Kerajaan telah menyalah guna kuasa di bawah SOSMA bagi melindungi PM Najib.

Buat Tan Seri Peguam Negara cukup lah Malaysia ada seorang sahaja Dato’ Ahmad Maslan.

SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.

* Datuk Mahfuz Omar adalah Ahli Parlimen Pokok Sena

Leave a Reply

Your email address will not be published.