Categories
NASIONAL

Laung kekerasan bukti TN50 satu ‘pembohongan’

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendakwa ucapan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang ‘menghasut’ penyokong Barisan Nasional (BN) menggunakan kekerasan terhadap Pembangkang membuktikan Program Transformasi Nasional 2050 (TN50) merupakan satu ‘pembohongan’.

Beliau berkata, ucapan Mohamad dalam satu program BN bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam satu klip video yang tersebar baru-baru ini serius dan merupakan satu hasutan ‘untuk menggunakan kekerasan’.

“Apabila melihat perkembangan politik negara kita ini, saya melihat sesuatu yang bertentangan dengan hasrat TN50.

“Ini menunjukkan TN50 ini tidak lebih daripada pembohongan kepada masyarakat dan rakyat.

“Dan ini satu perbuatan menghasut rakyat melanggar undang-undang dan sepatutnya polis menyiasat dan menghalang Umno-BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri S Devamany.

Menurutnya, tiada siapa yang menolak hasrat untuk Malaysia membentuk satu budaya berintegriti dan bernilai tinggi dalam TN50.

Kenyataan Mahfuz itu menimbulkan rasa tidak senang beberapa Ahli Parlimen BN dan mengejek beliau kerana berpindah parti baru-baru ini.

Semalam, akhbar The Sun melaporkan Mohamad sebagai berkata, ucapannya semasa Majlis Pelancaran Briged Gempur Pemuda Umno Rembau dalam satu video baru-baru ini diambil tidak mengikut konteks dan hanya untuk menaikkan semangat anak-anak muda.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Anwar berjiwa besar dukung Reformasi

OLEH : DATUK MAHFUZ OMAR

Satu yang sangat saya terharu ialah satu Kenyataan Media Datuk Seri Anwar Ibrahim dari jeriji besi penjara Sungai Buluh yang mendukung penggembelingan kekuatan merentasi ideologi politik bagi tujuan menggerak usaha menuntut Najib mengundurkan diri daripada jawatan PM.

Kenyataan DSAI itu memperlihatkan betapa berjiwa besarnya beliau menghulurkan tangan kepada orang seperti Tun Mahathir yang pernah menyingkir, memecat dan menganiayainya dalam konspirasi politik menjatuhkan beliau sebagai TPM dan kemudiannya Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

ANWAR - NAJIBKesediaannya sebagai lambang kesatuan hati bersama rakyat dan rakan-rakan hanya semata-mata demi Negara dan rakyat yang tercinta yang memerlukan perubahan, penambahbaikan dan pembelaan untuk suatu kehidupan yang damai dan sejahtera.

Kesediaan beliau itu adalah suatu pengorbanan yang sangat tinggi daripada dalam penjara terus menggerakkan perjuangan yang beliau perjuangkan selama ini untuk reformasi institusi yang dicengkam oleh salahguna kuasa PM di tangan Najib.

Pengorbanan beliau ini seharusnya disambut oleh semua peringkat rakyat Malaysia dengan penuh amanah dan bertanggunjawab mendesak Najib berundur daripada tampuk kuasa PM dan menggerakkan reformasi institusi bagi menegakkan keadilan untuk semua.

Sebagai rakyat Malaysia, saya mengajak seluruh masyarakat mendoakan agar kesihatan, kesabaran, kekuatan dan kekentalan serta keimanan DSAI untuk tetap istiqomah dengan perjuangan bagi memertabatkan keadilan untuk rakyat Malaysia.

Kita mendoakan agar beliau segera bebas sekaligus bersama dengan pengunduran Najib dan reformasi Negara. Selamat berjuang Bang Anwar. Moga Allah melindungi, merahmati dan memberkati Bang Anwar.

‪#‎LawanTetapLawan‬
‪#‎UndurNajib‬
‪#‎SelamatkanMalaysia‬.

DATO’ HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
4 Mac 2016/24 Jamadilawal 1437H

Categories
NASIONAL

Jual sektor keselamatan ancam kedaulatan negara

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Penjualan sektor stategik keselamatan kepada negara asing bagi menyelamatkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menanggung hutang mengancam kedaulatan negara.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar , berkata hal ini kerana syarikat Edra Global Energy Bhd, anak syarikat 1MDB yang merupakan membekalkan 18 peratus tenaga dalam negara akan dijual kepada syarikat asing, China General Nuclear Power Corp dan anak syarikatnya (CGN group) berjumlah 9.83 bilion.

1MDB“Bagi saya sektor strategik ini harus dilihat lebih menyeluruh kerana melibatkan keselamatan negara dan tidak boleh diperdagangkan semata-mata untuk menyelesaikan hutang ditanggung 1MDB.

“Sekarang kita nak selesaikan masalah hutang ditanggung 1MDB, kita menggadaikan sektor strategik keselamatan negara kita apabila Edra mengendalikan 18 peratus bekalan tenaga dalam negara,” kata Mahfuz pada sidang medianya di Lobi Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mahfuz turut menuntut penjelasan Kerajaan Persekutuan sebelum meneruskan langkah menjual 100 peratus kepentingan kerajaan dalam Edra.

“Saya tak peduli kalau Kerajaan Persekutuan nak jual syarikat lain yang tiada kepentingan dalam isu keselamatan negara tetapi syarikat Edra ini merupakan syarikat sektor strategik melibatkan keselamatan,” katanya.

Terdahulu, 1MDB menjalankan pelan rasionalisasi bagi menyelamatkan syarikat itu dari terus menanggung hutang yang sangat tinggi.

Antara langkah diambil dalam pelan rasionalisasi itu termasuk menjual beberapa syarikat dimiliki termasuk syarikat Edra.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

SOSMA: Kenyataan Peguam Negara keliru & mengelirukan

Oleh: Datuk Mahfuz Omar

Kenyataan Peguam Negara yang berkaitan penahanan dan pendakwaan terhadap Datuk Seri Khairudin Abu Hasan dan Matthias Chang konon untuk mengelak kekeliruan, sebenarnya dengan sendirinya mendedahkan kekeliruan beliau terhadap SOSMA dan Kanun Keseksaan.

Lebih menjadi masalah bila mana beliau cuba pula untuk mengelirukan rakyat atas kekeliruan beliau tersebut.

MahfuzPeguam Negara dalam kenyataannya berkata Khairuddin dan Matthias Chang tidak didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tetapi mereka berdua didakwa di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan.

Saya hairan bagaimana Peguam Negara tidak menyedari bahawa Seksyen 124L tu adalah Kesalahan Keselamatan yang tertakluk di bawah SOSMA. Betul mereka tidak didakwa di bawah SOSMA tetapi kesalahan yang didakwa itu adalah kesalahan yang berkaitan dengan SOSMA.

SOSMA adalah akta prosedur bagaimana untuk menyiasat dan mendakwa apa apa kesalahan yang melibatkan kesalahan keselamatan.

Mengikut Seksyen 3 SOSMA, “kesalahan keselamatan” ertinya kesalahan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.

Jadual Pertama SOSMA menyatakan bahawa kesalahan keselamatan ialah kesalahan yang terkandung di dalam Bahagian VI dan Bahagian VIA Kanun Keseksaan.

Bahagian VI Kanun Keseksaan bermula dari Seksyen 121 sehingga Seksyen 130A. Seksyen 124L yang dituduh terhadap Khairuddin dan Matthias Chang berada di Bahagian VI Kanun Keseksaan justeru ianya tertakluk kepada SOSMA.

SOSMA ialah suatu Akta berkaitan prosedur bagaimana hendak menangkap, menyiasat dan membicarakan kesalahan orang-orang yang disyaki melakukan kesalahan kegiatan keganasan.

SOSMA bukan Akta Kesalahan. Ianya Akta Prosedur. Kesalahan melibatkan SOSMA diperuntukkan di dalam Kanun Keseksaan di Bahagian VI dan VIA.

Justeru, saya minta Peguam Negara mohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kekeliruan beliau dan percubaan bodoh beliau untuk mengelirukan rakyat Malaysia atas isu ini.

Saya juga meminta Peguam Negara membetulkan kembali kenyataan beliau dan membuat perakuan yang Khairudin dan Matthias Chang didakwa di bawah Kanun Keseksaan yang membabitkan kesalahan di bawah SOSMA atas tuduhan kononnya cuba sabotaj Perbankan Malaysia dan Sistem Kewangan Negara, dan memperakui yang Kerajaan telah menyalah guna kuasa di bawah SOSMA bagi melindungi PM Najib.

Buat Tan Seri Peguam Negara cukup lah Malaysia ada seorang sahaja Dato’ Ahmad Maslan.

SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.

* Datuk Mahfuz Omar adalah Ahli Parlimen Pokok Sena

Categories
NASIONAL

Apa hasil strategi ‘Blue Ocean’ sehingga sempadan bolos?

Oleh:,AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Strategi ‘Blue Ocean’ diamalkan Kementrian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan dipertikaikan ekoran berlakunya pencerobohan sempadan negara dengan penemuan kubur di Padang Besar, Perlis.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) berkata penemuan itu menjejaskan imej Malaysia kerana ia memperlihatkan kawalan sempadan negara longgar memandangkan ia melibatkan isu pemerdagangan manusia.

Kubur PTI“Sebelum itu kedua-dua kementerian bercakap melaksanakan strategi ‘Blue Ocean’ iaitu strategi bersama antara dua pasukan bertanggungjawab untuk keselamatan pertahanan negara.

“Tiba-tiba sempadan kita boleh dibolos dan berlaku kemasukan pendatang serta ada pemerdagangan manusia hingga akhirnya berlaku penderaan yang mengakibatkan kematian,” katanya kepada Selangor Kini.

Menurutnya, pihak keselamatan perlu lebih bertanggungjawab dalam kes itu tanpa perlu menunding jari kepada pihak lain.

“Adalah memalukan apabila masing-masing menunding jari kerana ia melibatkan isu pencerobohan sempadan dan bagaimana mereka boleh masuk sedangkan dikawal oleh polis atau tentera,” katanya lagi.

EZY

Categories
NASIONAL

Mahfuz adakan sidang media bersama Sirul 23 Feb

SHAH ALAM 20 FEB: Datuk Mahfuz Omar akan mengadakan sidang media melalui telefon bersama bekas anggota polis Sirul Azhar Umar yang kini berada di Australia.

ALTANTUYAKetua Penerangan PAS itu berkata sidang media akan berlangsung selama 15 minit bermula jam 11.30 pagi di ibu pejabat parti itu dengan menggunakan pembesar suara dan media dijemput menghadirinya.

“Saya akan buat satu lagi sidang media berkenaan Sirul. Sirul juga telah bersetuju untuk saya menelefon (guna loudspeaker) dan telesidang dengan Sirul dan semua pihak media di sini. Hari Isnin 23 Februari 11.30 pagi.

“Beliau sedia dan bersetuju untuk semua media kerana katanya tidak adil untuk satu dua media yang menghubungi beliau. Saya akan atur dan dia setuju,” katanya dipetik Malaysiakini.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Malaysia Boleh lawan Malaysia Bodoh?

Oleh: Dato Mahfuz Omar

Pengumuman pelantikan Christoph R Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Berhad (MAS NewCo) telah membuktikan kegagalan kerajaan Barisan Nasional dalam merealisasikan slogan Malaysia Boleh.

Jikalau sebelum ini, pemimpin BN sering mencanang bahawa kita serba-boleh tetapi dengan pelantikan warga asing sebagai peneraju baru MAS membuktikan kegagalan Malaysia dalam melahirkar tokoh pengurusan koperat tempatan.

masIni menjadikan slogan malasia boleh adalah slogan palsu.pemilihan warga asing untuk menerajui mas menjadikan slogan Malaysia boleh bertukar menjadi Malaysia bodoh seperti kenyataan sinis Tun Mahathir rakyat Malaysia ni bodoh dan tak layak untuk menerajui MAS.

Isu menyelamatkan dan memulihkan MAS bukanlah cerita baru. Kerugian demi kerugian dialami walaupun pelbagai pelan pemulihan telah dilaksanakan.

Mereka seperti Datuk Seri Idris Jala, Tan Sri Azman Mokhtar telah pun terlibat dalam menyelesaikan masalah MAS ini dahulu sehingga MAS terpaksa tutup kedai.

Sungguh menghairankan, apabila mereka yang telah terbukti gagal menyelesaikan masalah itu dan kini mereka juga yang diberi tanggungjawab memulihkan MAS dengan plan pemulihan antaranya membawa masuk tokoh asing untuk menyelamatkan MAS.

Sepatut secara lojiknya jawatan yang mereka pegang sekarang ini seharusnya diisi olih warga asing yang berkebolehan kerana mereka berdua telah terbukti gagal memulihkan MAS.

Langkah melantik warga asing telah membentuk sikap hilang kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kebolehan anak anak Malaysia untuk diberi tanggungjawab besar untuk masa depan Negara.

Apakah ini bermakna kerajaan bercadang untuk jawatan menteri kewangan yang di sandang oleh Datuk seri Najib juga perlu diserahkan kepada warga asing yang lebih berkeupayaan untuk pemulihan ekonomi negara yang lebih baik kerana Datuk seri Najib terbukti gagal dengan beban hutang negara yang begitu besar serta kejatuhan nilai ringgit Malaysia dan macam macam kegalan bukan sekadar pemulihan syarikat penerbangan MAS.

* Dato’ Mahfuz Omar adalah Ketua Penerangan PAS dan Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

Categories
NASIONAL

Mahfuz: Pastikan PAS releven kepada rakyat

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Jalan penyelesaian yang diambil PAS dalam menghadapi krisis dalaman sejak 63 tahun lalu merupakan salah satu bentuk ujian yang dilalui dalam menuju kematangan parti itu.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata soal kematangan merupakan perkara subjektif namun apa yang penting adalah PAS perlu bergerak ke hadapan seiring dengan perkembangan semasa untuk terus relevan kepada rakyat.

bicaraBercakap dalam Wacana Harakah bertajuk ‘Matangkah PAS di usia 63 tahun’ beliau berkata, sekarang bukan masanya untuk PAS menoleh ke belakang.

“Ujian untuk PAS dalam pengurusan krisis. Ini suatu peralihan dimensi dan corak pemikiran masyarakat yangg ada.

“Untuk capai 63 tahun adalah satu proses ujian. Kita juga perlu melihat kepada 63 tahun PAS untuk fasa kedua,” katanya yang merujuk kepada tempoh sama untuk masa hadapan.

Jelasnya, masyarakat hari ini mempunyai aliran pemikiran berbeza dan PAS sendiri perlu menilai soal kematangan itu dari segi cara pengendalian parti yang kini berada dalam sistem peralihan berbeza seperti zaman PAS mula ditubuhkan pada 24 November 1951.

Sebagai contoh katanya, penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang terdiri daripada golongan Bukan Islam adalah salah satu kejayaan PAS dalam membentuk lanskap politik yang lebih dinamik kepada parti itu serta konteks demokrasi Malaysia.

Ahli Parlimen Pokok Sena ini turut bersetuju dengan pandangan Koordinator Lensa, Safwan Anang supaya PAS perlu memberikan lebih ruang dan mendekati anak muda.

“Anak muda perlu diberikan peluang untuk tonjolkan kebolehan kepimpinan mereka.

“Kalau kita tidak faham soal ini kita akan menjarakkan kita dengan masyarakat. Maka takut (PAS) jadi tak relevan,” katanya lagi.

EZY

Categories
NASIONAL

Mahfuz: BN ‘Rumah Tol’ kepada rakyat

Oleh: Afix Redzuan

DESA PANDAN, 8 FEB: Kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan ‘Rumah Tol’ paling besar yang mengambil duit rakyat sejak sekian lama termasuk kenaikan yang sedang dialami kini selain lebuh raya yang saban hari mengaut keuntungan.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata ini merupakan kesan yang terpaksa dilalui rakyat selepas Kerajaan BN menarik pelbagai subsidi atas alasan untuk penjimatan dan meningkatkan pendapatan negara.

mahfuzBeliau turut menyifatkan perjanjian terhadap konsesi lebuh raya sebagai perjanjian tidak masuk akal sehingga memaksa kerajaan membayar pampasan berniai RM400 juta kepada 14 syarikat konsesi lebuh raya oleh kerana tidak ada kenaikan tol tahun ini.

“Makanya ia bukan sahaja tol di setiap lebuh raya yang rakyat kena bayar tetapi Umno-BN sendiri satu ‘rumah tol’ yang sentiasa mengutip duit daripada rakyat untuk kepentingan orang lain.

“Dia (kerajaan) ambil (potong) subsidi yang dahulunya dikatakan untuk membuat pembangunan akhirnya untuk syarikat konsesi (lebuhraya) RM400 juta,” katanya kepada media selepas pelancaran program Roadshow ‘Jom Turun’ dan Solidariti Ekonomi Rakyat Insaf Kotaraya (Serik).

Disebalik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan harga kangkung telah turun dinafikan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Kangkung3 (1)Katanya, dalam satu tinjauan di pasar raya Giant dan Tesco Alor Setar mendapati harga kangkung pada kadar purata RM3.00 hingga RM4.00 sekilo, tidak murah seperti yang diperkatakan sebelum ini.

Jelasnya lagi, ini membuktikan kerajaan sebenarnya tidak faham bahawa rakyat sebenarnya sedang menderita akibat pendapatan tidak meningkat.

EZY

Categories
NASIONAL

Pelaburan Di Kedah: Mukhriz Perlu Rujuk Laporan Mida

Mahfuz

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Timbalan Menteri Perdagangan, Datuk Mukhriz Mahathir dinasihati agar merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) berikutan dakwaan beliau yang memperkecilkan kemampuan Pakatan Rakyat(PR).

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menambah, selain Pulau Pinang dan Selangor, Kedah yang diterajui oleh PAS turut mencatatkan nilai pelaburan yang memberangsangkan.

Menurut Mahfuz yang memetik laporan yang dikeluarkan MIDA, bagi tempoh 2008 hingga 2012 Kedah berjaya mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM15.89 bilion.

Dalam tempoh sama Kerajaan Kedah juga berjaya mewujudkan sebanyak 22,440 peluang pekerjaan untuk rakyat negeri itu.

“Negeri yang mecatat pelaburan terendah adalah Perlis yang ditadbir oleh BN, Kedah tak pernah lagi,” ujar Mahfuz lagi.

Sebaliknya Mahfuz menggesa Mukhriz mengakui dua negeri penyumbang tertinggi pelaburan di negara ini merupakan negeri yang ditadbir oleh PR.

“Datuk Mukhriz sepatutnya kena akui dua negeri yang menyumbang pelaburan tertinggi adalah negeri PR iaitu Pulau Pinang dan Selangor,” kata Mahfuz dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS Pusat hari ini.

Terdahulu, Mukhriz dalam satu kenyataannya kepada media memberitahu, beberapa pelabur bersedia untuk melabur di negara ini sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke -13 nanti.

Kenyataan beliau tersebut memberikan persepsi negatif kepada kemampuan pemimpin Pakatan Rakyat di peringkat pusat dan negeri membawa masuk pelabur ke negara atau negeri masing-masing.

Bagaimanapun kenyataan beliau itu tidak disertakan dengan sebarang bukti dan senarai syarikat yang dimaksudkan.