Categories
SELANGOR

Kota Fesyen: Segamat boleh berjaya mengapa tak Shah Alam?

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 NOV: Hasrat menjadikan Shah Alam sebagai ‘World Muslim Fashion City’ seperti diumumkan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali semasa membentangkan Belanjawan Selangor 2016 mampu direalisasikan.

Pengarah Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel), Mohamed Izani Mohamed Jakel, berkata Jakel sebelum ini bertanggungjawab menaikkan nama bandar kecil kurang dikenali, Segamat sebagai syurga membeli belah peminat tekstil.

Pelancaran ORKED oleh YB Daroyah di SACC Shah Alam (1)“Pada saya ini bukan suatu yang pelik kerana kita sudah berjaya menaikkan nama Segamat walaupun hanya bandar kecil dan tidak mempunyai tarikan pelancongan.

“Bila Jakel mempromosikan perniagaannya di sana, usahawan tekstil lain ikut serta menyebabkan Segamat menjadi tempat persinggahan orang luar sehinggakan pada hari cuti kita dapat lihat banyak bas rombongan dari luar datang membeli-belah,” katanya kepada Selangor Kini, hari ini.

Izani berkata Shah Alam berpotensi ekoran mempunyai banyak tarikan dan kemudahan.

“Dengan perancangan yang betul dan sokongan Kerajaan Negeri saya pasti boleh berjaya sama ada diperingkat dalam negeri dan antarabangsa,” katanya.

Shah AlamBeliau berkata, berdasarkan pengalaman Jakel di bandar Segamat, projek itu menyebabkan lebih ramai usahawan tekstil datang membuka perniagaan di Shah Alam dan sekaligus, meningkatkan peluang pekerjaan.

Selain merancakkan pertumbuhan usahawan berasaskan perniagaan tekstil, Izani menjangkakan World Muslim Fashion City mampu meningkatkan permintaan dalam sektor perhotelan dan pemakanan di Shah Alam.

“Saya melihat projek ini dengan skop lebih meluas. Bila pelancong atau orang ramai datang mereka perlukan penginapan, restoran ataupun tempat mereka singgah dan secara tidak langsung ia menaikan industri hotel, perniagaan makanan dan sektor lain,” kata Izani.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.