Categories
NASIONAL

GST tambah beban cukai RM700 setahun

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 12 NOV: Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) memaksa rakyat secara purata menanggung cukai tambahan RM700 seorang setahun.

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, berkata ia menyebabkan lima sekeluarga membayar cukai tambahan RM3,500 berbanding penerimaan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) RM1,000 untuk seisi keluarga.

bantah-gstKatanya, itu membuktikan tambahan cukai RM21 bilion sebenarnya ditanggung rakyat Malaysia.

“Ini tidak wajar dan menyebabkan kedudukan kewangan rakyat semakin tertekan ekoran kadar hutang isi rumah negara tinggi melebihi RM940 bilion.

“Setiap rakyat secara purata menanggung beban hutang RM31,000 seorang atau RM155,000 untuk seisi keluarga.

“Malah kajian mendapati rakyat menggunakan 50 peratus pendapatan bulanan untuk membayar hutang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Koo Ham berkata, kenaikan harga barangan meningkat sehingga 300 peratus disebabkan GST selain kejatuhan nilai ringgit sehingga 40.8 peratus sejak Januari 2013.

“Saya mendesak kadar GST diturunkan atau menambah pengecualian barangan daripada dikenakan GST.

“Selain itu, diharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima peruntukan lebih banyak untuk membantu rakyat miskin,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.