Categories
BERITA UTAMA

Isu sebenar negara Najib bukan Vape

Oleh: Shahbudin Husin

Entah sampai bila isu vape ini akan terus berlarutan berikutan satu demi satu isu berkaitan dengannya sentiasa saja muncul di hadapan kita.

Bermula dengan Mufti WP sudah mengisytiharkannya haram, kemudian kabinet membuat keputusan bertentangan dengan tidak mengharamkannya, menteri yang tidak berkaitan membuat pengumuman mengenai vape dan selepas itu Kementerian Kesihatan pula membuat serbuan kepada kedai-kedai yang menjual vape berhubung kandungan nikotin dalam perisanya.

Ia kemudian bertukar menjadi isu perkauman dan politik apabila kononnya ramai pengusaha vape adalah Melayu dan timbul pula dakwaan yang entah kajian daripada mana bahawa gangguan terhadap vape akan menyebabkan BN kehilangan sejuta sokongan pengundi muda dalam pilihanraya akan datang.

Najib-RMAdakah untuk mengekalkan kuasa, BN akhirnya bukan saja perlu menghalalkan vape, bahkan juga perlu membenarkan semua perbuatan lain yang menjadi kesukaan anak-anak muda tanpa memikirkan kesan buruk atau halal haramnya?

Kemudian ada pula sebuah kementerian mengeluarkan kenyataan mahu menetapkan harga vape yang seragam, manakala menteri yang lain pula mahu kreativiti anak Malaysia dikenali di peringkat dunia kerana perisa vape yang berbagai dan macam-macam.

Selain menteri-menteri berbeza pendapat sesama sendiri, Timbalan Menteri Kesihatan, Hilmi Yahya pula mengakui tindakan pasukan penguatkuasa kementeriannya melakukan serbuan adalah tindakan yang dianggap drastik.

Kenapa Hilmi memilih mengecam pasukan penguatkuasa kementerian sendiri berbanding bercakap mengenai keburukan vape kepada generasi muda serta kandungan nikotinnya?

Selain itu, ditubuhkan juga sebuah jawatankuasa di bawah Kementerian Kesihatan mengenai vape ini.

Bukankah isu vape ini boleh diselesaikan dengan mudah melalui kerjasama dan mesyuarat pelbagai agensi dan kementerian sebelum sesuatu keputusan yang konkrit diambil?

Kenapa semua orang yang berkuasa bercakap dengan nada yang berbeza sedangkan berada dalam kerajaan yang mendukung aspirasi yang sama?

Tidakkah semua kenyataan yang berlarutan dan berbeza-beza ini kelihaan mengarut saja keadaannya?

Tidakkah juga seolah-olah semua isu berkaitan vape bagaikan sengaja direka dan ditimbulkan untuk menutup isu sebenar yang sedang melanda negara?

Fakta-Keburukan-Rokok-VaporKenapa Najib diam tidak berkata apa-apa berkaitan vape secara terbuka?

Apakah isu vape ini semata-mata bertujuan untuk melekakan rakyat dan membuatkan mereka lupa seketika daripada menumpukan perhatian kepada permasalahan sebenar berkaitan Najib, 1MDB, derma RM2,600 juta dan sebagainya?

Bagi sesiapa yang melihat permasalahan negara dalam konteks yang lebih luas, tentulah mengakui bahawa isu pokok kita ialah Najib dan hal-hal berkaitan kepimpinan dan perlakuannya.

Biarpun kita turut mengambil berat kesan buruk vape yang tidak jauh bezanya dengan rokok atau mungkin nanti perisanya dikreatifkan dengan disaluti ganja, heroin atau dadah sintetik (perisa ketum dan syabu khabarnya sudah ada), tetapi janganlah semua itu membuatkan kita leka dengan isu pokok sebenar sehingga lupa kepada iltizam perubahan yang seharusnya lebih diutamakan.

Berbanding isu vape yang barangkali sengaja direka dan diperbesar-besarkan, jika kita leka dan terbuai dengan isu pokok yang sebenar, lalu Najib dapat berkuasa dengan lebih lama lagi, kesannya akan menimpa keseluruhan lebih 30 juta rakyat negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.