Categories
NASIONAL

MB: Blok pembangkang perlu bekerjasama

AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 27 NOV: KEADILAN menegaskan pendirian mereka untuk terus bekerjasama dengan parti komponen Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) disamping meneruskan tahaluf siyasi bersama PAS dalam menentang Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali, berkata pembangkang perlu memastikan pertembungan satu lawan satu dalam PRU-14 meskipun terdapat percanggahan mutakhir ini.

MB Azmin“Walaupun ada perbezaan, kita mahu jamin pertembungan satu lawan satu.

“Walaupun ada dua platform berbeza, ia masih boleh dibincangkan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kongres KEADILAN AMK dan Wanita di Dewan Sivik MBPJ, di sini, hari ini.

Selain PAS, KEADILAN juga akan meneruskan kerjasama politik bersama PSM serta parti politik di Sabah dan Sarawak dan NGO yang menjuarai hak serta agenda rakyat.

Katanya, hanya dengan muafakat utuh tanpa dibelenggu prejudis serta prasangka yang menebal, pembangkang mampu mencapai kemenangan.

Jelasnya, muafakat dalam Pakatan Harapan bersama DAP dan AMANAH akan terus dibina di atas prinsip dan solidariti untuk menentang UMNO-BN seperti ketetapan yang diambil Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Khas yang bersidang pada 11 Oktober 2015 lalu.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim seringkali mengingatkan pimpinan dan anggota parti supaya mempertahankan ideologi reformasi berteraskan prinsip keadilan, kebebasan dan pencerahan dengan mewujudkan satu muafakat besar (grand coalition) yang bersifat inklusif untuk menentang UMNO dan BN.

“Sebagai pemimpin dan anggota parti reformasi, kita mesti bersikap tawaddhu’ (humility) dan bukannya angkuh, sombong dan bengkeng,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.