Categories
SELANGOR

MB: Kerajaan Negeri jamin ketelusan DEIG

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri memberikan jaminan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) sedia disiasat mana-mana pihak bagi menjamin ketelusannya.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata tiada halangan sekiranya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) mahu menyiasat badan pelaburan itu.

MB AzminKatanya, Kerajaan Negeri juga mahu DEIG melapor urusannya kepada Jabatan Audit Negara.

“Kita mengamalkan prinsip ketelusan dan ini adalah jaminan Kerajaan Negeri sejak awal-awal lagi,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas upacara pembukaan Persidangan Usahawan Malaysia-China Kelima, di sini hari ini.

Katanya, entiti itu masih belum beroperasi seperti mana didakwa pelbagai pihak malah ia sedang melalui proses penstrukturan tadbir urus yang baik.

“Tetapi, DEIG belum beroperasi lagi jadi apa yang hendak disiasat tetapi kalau nak siasat juga terpulanglah,” kata Mohamed Azmin.

Mohamed Azmin mengulas kenyataan Adun Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahu SELCAT dan Jabatan Audit Negara menyiasat DEIG.

Mantan Menteri Besar itu berkata siasatan perlu dijalankan dengan kadar segera terutama mengenai tawaran pinjaman bank RM500 juta kepada salah satu anak syarikat kumpulan terbabit.

Terdahulu, Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Soffan Affendi Aminudin, berkata wujud permohonan pinjaman itu tetapi ditolak lembaga pengarah.

Katanya, Kerajaan Negeri ingin menyelesaikan masalah hutang Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) berjumlah 424.728 juta melalui pelbagai kaedah
bagi memastikan keputusan tepat dan diurus dengan prinsip kebertangungjawaban.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.