Categories
SELANGOR

MB: Pembangkang bernasib baik kerana keterbukaan Kerajaan Negeri

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 OKT: Pembangkang Selangor hari ini lebih bernasib baik berbanding di era pentadbiran Barisan Nasional (BN) ekoran kesediaan Kerajaan Negeri menyalurkan maklumat kepada semua wakil rakyat tanpa mengira idealogi politik.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, berkata sikap terbuka itu diamalkan bagi memastikan semua wakil rakyat dapat memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat di kawasan masing-masing.

MB Azmin“Ketika duduk di sebelah sana dulu, saya tak dapat tetapi sekarang kita mengamalkan sikap terbuka.

“Kerajaan Negeri bersedia mengemukakan semua maklumat untuk kepentingan rakyat termasuk kepada wakil rakyat pembangkang,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Sulaiman Razak (BN-Permatang) di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri mencadangkan supaya wakil rakyat melibatkan diri dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan peringkat daerah untuk memberikan pandangan dan maklum balas sekiranya ada kelewatan atau birokrasi melampau dalam isu tanah di negeri itu.

Jawapan Mohamed Azmin itu menarik perhatian Sulaiman dan memohon supaya Kerajaan Negeri sekurang-kurangnya memberi salinan kes dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan peringkat daerah kepada wakil rakyat BN.

“Bagi jawapan dimaklumkan menteri besar tadi itu, bolehkan kami di peringkat Adun BN mendapatkan salinannya kerana kami juga ditanya penduduk atas isu berkaitan TOL dan pejabat tanah,” soal Sulaiman.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.