Categories
SELANGOR

Pelan induk pertanian tingkat hasil bantu petani

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 NOV: Kerajaan Negeri sedang merangka pelan induk pertanian secara menyeluruh bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negeri.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata pelan terbabit bakal dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Dr Idris Ahmad (PKR-Ijok) yang bertanyakan pelan pertanian supaya Kerajaan Negeri tidak bergantung hasil pertanian dari luar.

Selangor Fruit Valley“Kita meningkatkan hasil pertanian supaya hasil pertanian itu dapat dinikmati dalam negeri dan tidak terlalu bergantung hasil luar dari luar,” katanya.

Zaidy (PAS-Taman Templer) berkata, hasil pertanian melalui projek Fruit Valley yang dilaksanakan di Kuala Selangor dapat dinikmati bermula hujung tahun ini hingga pertengahan tahun depan.

“Hasil itu ditingkatkan selepas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengambil langkah memulihara kawasan itu.

“Antaranya memulihara kesuburan tanah, penggunaan baja perosak, mengemaskini sistem saliran, menaik taraf jalan pertanian, mengadakan program latihan dan mengadakan tanaman rempah ratus,” katanya.

Katanya, antara tanaman yang sedia ada di kawasan itu ialah jambu batu, belimbing, kelapa pandan, tembikai, pulasan dan lain-lain.

“Projek pembangunan usahawan tani dimulakan. Sejumlah 156 hektar tanah digunakan untuk menanam beberapa jenis tanaman dan hasil mula kelihatan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.