Categories
NASIONAL

Siasat penyelewengan dana YaPEIM bukan lencong tumpuan rakyat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 NOV: Tuduhan mengaitkan DAP dalam pembongkaran penyelewengan dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) oleh blog pro-Umno bertujuan melencong tumpuan rakyat.

Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Ng Tien Chee, berkata blog pro-Umno seharusnya mendesak pihak berkuasa menyiasat penyelewengan dana itu, bahkan menteri berkenaan dan kerajaan wajar memberi penjelasan terutama kepada pemberi sumbangan yayasan.

Ng Tien Chee“Ia perlu bagi memastikan dana YaPEIM digunakan untuk membantu umat Islam dan tidak disalah guna bagi tujuan politik termasuk mengkayakan segelintir ahli Umno.

“Adakah pemimpin Umno turut menerima dana sumbangan orang ramai melalui potongan gaji bulanan kepada YaPEIM sebagai ‘derma’ kepada pemimpin sedangkan ia sepatutnya disalur untuk amal jariah.

“Jika ya, mungkin itulah yang memupuk semangat Perdana Menteri dalam isu derma RM2.6 bilion,” katanya dipetik Roketkini.

Terdahulu, National Oversight and Whistleblowers (NOW) mendedahkan pentadbiran atasan YaPEIM membolot 26 jawatan dengan gaji RM154,700 sebulan.

Salah seorang daripada individu itu adalah pimpinan wanita Umno Kelantan yang didakwa menerima gaji bulanan RM45,500 daripada tujuh jawatan yang disandang, manakala anak lelakinya (RM31,200) dan suaminya (RM5,000) menjadikan pendapatan bulanan mereka RM81,700.

yapeim1Seorang lagi pimpinan YaPEIM memperoleh pendapatan bulanan RM73,000 melalui 12 jawatan, selain RM223,000 disalur ke Rompin untuk membantu Umno-BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu.

Tien Chee yang juga Adun Balakong turut mempersoalkan sama ada lantikan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

“Saya tidak menafikan YaPEIM banyak membantu umat Islam tetapi adakah ia bermakna pegawai boleh berbuat suka hati dengan sumbangan itu,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.