Categories
SELANGOR

Temasya Seni Cempuling 25 jam tanpa henti

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 18 NOV: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) akan menganjurkan Temasya Seni Cempuling Negeri Selangor 25 jam tanpa henti bagi catatan Malaysia Book of Record, pada 19 hingga 20 November ini.

Temasya yang berlangsung selama 25 jam itu akan bermula seawal jam 10.00 pagi yang diadakan sebagai tanda simbolik 25 tahun sambutan penubuhan Muzium Sultan Alam Shah bertempat di Pusat Aktiviti Homestay Sungai Haji Dorani, Sungai Besar.

IMG_1317Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata program itu diadakan bagi mengangkat dan memartabatkan seni muzik cempuling sebagai identiti Selangor.

“Dendangan muzik cempuling kian pupus akibat kebanjiran muzik moden yang menjadi kegilaan generasi kini.

“Temasya ini akan menaikkan lagi martabat cempuling di samping memperkenalkan kepada generasi muda keunikan muzik tradisi masyarakat jawa ini,” katanya.

Ahmad Yunus berkata, sebanyak 10 kumpulan yang terdiri daripada 100 peserta akan terbabit dalam persembahan 25 jam itu.

“Persembahan muzik akan dimainkan secara bergilir selama satu jam setiap kumpulan dan bersambung sehingga tamat 25 jam iaitu pada jam 11 pagi, 20 November ini.

“Ia akan menjadi satu landasan medium dakwah yang mengajak masyarakat mendekati Islam melalui lirik jawa yang penuh makna keagamaan dan zikir,” katanya.

Orang ramai dijemput hadir ke temasya itu bagi memeriahkan lagi program dan aklumat lanjut boleh hubungi Unit Korporat PADAT di talian 03-55190050 atau layari laman sesawang padat.gov.my.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.