Categories
NASIONAL

TPPA: Korporat diutamakan, hak pengguna internet dipinggirkan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Pendedahan teks penuh Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) jelas membuktikan perjanjian itu hanya mengutamakan kepentingan korporat dan manakala hak pengguna internet dipinggirkan.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, berkata berdasarkan bab hak milik intelektual TPPA (bab 18, perkara 18.82) menyebut pembekal perkhidmatan internet (PPI) akan berperanan sebagai ‘polis laman web’.

TPPA“Malaysia dikehendaki menyediakan insentif perundangan bagi menggalakkan PPI menyingkirkan kandungan laman web didakwa melanggar perundangan hak cipta walaupun tidak menerima notis aduan pihak pemegang hak cipta,” kata Mohd Hatta pada sidang medianya di Lobi Dewan Rakyat di sini.

Jelasnya, keadaan ini memberi lebih kuasa kepada PPI mengawal kandungan internet berbanding Akta Hak Cipta Malaysia yang hanya memerlukan PPI menyingkirkan kandungan laman web jika notis daripada pemegang hak cipta diterima seperti mana dinyatakan dalam Seksyen 43E, Akta Hak Cipta (pindaan) 2012.

Katanya, PPI juga tidak boleh didakwa jika didapati tersalah menyingkirkan sesuatu kandungan laman web yang sebenarnya tidak melanggar perundangan hak cipta.

“Ini bermaksud PPI boleh menyingkir kandungan internet secara tidak bertanggungjawab dan boleh membenarkan penapisan internet secara meluas,” katanya lagi.

Tambah Mohd Hatta, TPPA bakal mengubah syarat penggunaan internet apabila syarat itu diluluskan tanpa sebarang ketelusan dengan hanya menyebelahi pemilik hak cipta dan sektor korporat.

“TPPA tidak memberi manfaat atau menyokong keperluan industri kreatif atau pendidikan di Malaysia, sebaliknya membenarkan pemilik hak cipta mengaut keuntungan besar,” kata Dr Hatta.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.