Categories
SELANGOR

Tanah wakaf Jalan Kebun dibangunkan tingkat nilai ekonomi

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 DIS: Pembangunan tanah wakaf untuk perumahan dijalankan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Jalan Kebun, di sini adalah projek perintis bagi pembangunan seterusnya.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata projek Taman Impinan Kasih itu adalah titik permulaan kepada pembangunan tanah wakaf lain dimiliki di Selangor.

Wakaf MAISKatanya, pembangunan kawasan terbabit dijalankan secara usahasama antara Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dan Nada Sepakat Corporation (M) Sdn Bhd (Nada Sepakat).

“Jika dahulu pemahaman masyarakat terhadap amalan berwakaf hanya sinonim dengan wakaf tanah kubur, masjid, surau dan sekolah agama sahaja namun dengan perubahan masa serta keadaan berlaku, MAIS memberi tanggungjawab kepada PWS untuk pembangunan itu.

“Ia bermatlamat untuk meningkatkan nilai ekonomi dan pelaburan harta tanah wakaf sedia ada di samping menjadikan institusi wakaf sebagai suatu instrumen dalam meningkatkan tahap sosio-ekonomi umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Pecah Tanah Wakaf Bagi Projek Pembangunan Perumahan antara PWS dan Nada Sepakat di sini, hari ini.

Mohamad Adzib berkata, MAIS sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf di Selangor berharap supaya harta tanah wakaf sedia ada dapat dimaksimakan manfaatnya dan ditambah nilai pelaburan supaya seiring dengan tanah konvensional lain.

Katanya, ia juga adalah selaras dengan hasrat DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang ingin melihat pengurusan wakaf diperkasa dan dibangunkan untuk ke maslahatan masyarakat Islam di negeri itu.

“MAIS berharap ia akan menjadi perintis ke arah pembangunan tanah wakaf lain di Selangor,” katanya.

Tanah seluas 2.844 ekar itu diwakafkan Almarhum Abdul Rahman Arshad pada 1972 untuk tujuan umum bagi manfaat Surau Al-Falah Telok Pulai, Klang.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.