Categories
NASIONAL

Potong caruman KWSP jejas simpanan hari tua

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 JAN: Pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak tiga pratus akan menjejaskan simpanan hari tua pekerja, kata Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani Abdul Hamid.

Katanya, langkah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam diumpamakan seperti melepaskan batuk di tangga.

abdullah sani“Dia (Najib) tidak sepatutnya buat begitu. Tindakan (mengurangkan caruman) itu tidak kena langsung jika ingin meningkatkan perbelanjaan bulanan.

“Memotong simpanan hari tua mereka untuk kesihatan dan pendidikan tidak menunjukkan rasa profesional.

“Pengubahsuaian bajet itu bagus tetapi beberapa perkara sedia ada seperti caruman KWSP itu patut dikekalkan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, jika Kerajaan Persekutuan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan pendapatan rakyat tangga gaji minima perlu dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,200.

Dalam pengumuman langkah Pengubahsuaian Bajet 2016 semalam, Najib memaklumkan kerajaan bersetuju untuk mengurangkan potongan caruman KWSP pekerja sebanyak tiga peratus mulai Mac 2016 sehingga Disember 2017.

Bagaimanapun, caruman majikan dikekalkan dan ia dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta sehingga 8 bilion ringgit setahun.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Kuala Langat itu turut membidas kenyataan Najib antaranya mengingatkan 1.6 juta kakitangan awam bahawa mereka masih mengekalkan jawatan masing-masing kerana adanya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Apakah tiada integriti kerajaan untuk menambah baik pendapatan melalui sumber-sumber pelaburan dan sebagainya,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.