Categories
SELANGOR

Mahu pengangkutan awam, rakyat tolak SUKE

Oleh: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 29 JAN: Langkah Kerajaan Negeri meningkatkan sistem pengangkutan awam untuk kegunaan rakyat disambut baik dan disokong banyak pihak.

Kumpulan Say No To Suke menyatakan dialog pelan induk pengangkutan awam Selangor bersama wakil rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) peringkat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, malam tadi, adalah langkah wajar diambil Kerajaan Negeri.

Wakilnya, Agos Hassan, berkata seperti mana perancangan dijalankan di kawasan seliaan MBPJ, pihaknya berharap tindakan sama dijalankan Kerajaan Negeri di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

TAKNAK SUKEBerikutan itu, pihaknya berharap Kerajaan Negeri mengambil langkah membatalkan projek pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Ampang sebagaimana dilakukan terhadap projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (KIDEX).

“Ia selari dengan hasrat Kerajaan Negeri bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat.

“Saya berharap Kerajaan Negeri akan menepati janji mereka mengikut pelan induk di mana pelan terbabit menyatakan lebuh raya bukan jawapan kepada masalah kesesakan lalu lintas,” katanya kepada SelangorKini di sini, malam tadi.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri boleh membangunkan kawasan projek terbabit dengan sistem pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) atau yang bersesuaian.

Katanya, berdasarkan warta Kerajaan Negeri, langkah pengambilan tanah boleh dilakukan biarpun dinyatakan pelaksanaannya tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri boleh memainkan peranan besar dalam perkara ini dan menggunakan kepakaran bagi menggantikannya dengan sistem pengangkutan awam,” katanya.

Freddie Ong pula berkata, dialog dijalankan itu adalah baik dan ia juga menjelaskan berhubung Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang berubah dan luput dalam tempoh dua ke tiga tahun.

Katanya, cadangan pembinaan projek SUKE dikemukakan kepada Kerajaan Negeri pada 2012 maka tentunya EIA sedia ada perlu digantikan dengan yang baharu.

“Kita memang menyokong penggunaan pengangkutan awam berbanding lebuh raya yang memudaratkan rakyat kerana ia berkaitan pihak konsesi dengan perjanjian lama hingga 50 ke 60 tahun,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.