Categories
NASIONAL

MTUC: Kurangkan caruman KWSP jejas masa depan pekerja

SHAH ALAM, 29 JAN: Pengurangan tiga peratus caruman Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) bagi individu tidak akan membantu golongan pekerja, sebaliknya memberi impak negatif pada masa akan datang.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja (MTUC), N. Gopal Krishnam, berkata kesan pengurangan itu tidak akan dapat dilihat sekarang, namun akan dirasai apabila seseorang itu bersara kelak.

“KWSP adalah pelan persaraan bagi golongan pekerja. Apabila kita sudah bersara, wang itulah kita nak guna. Kalau kita lihat keadaan sekarang pun, majoriti daripada kita tidak cukup wang persaraan daripada KWSP.

MTUC“Pengurangan tersebut tidak akan memberi kesan yang baik kepada golongan pekerja,” katanya lapor Sinar Online.

Pada masa sama, katanya kadar pengurangan caruman tiga peratus itu tidak akan memberi banyak faedah apatah lagi rakyat kini berdepan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Sebanyak 65 peratus keluarga dalam negara menerima hanya kurang daripada RM 3,500 setiap bulan.

“Kalau hanya tiga peratus, ia hanya lebih kurang RM 105, ia masih tidak cukup,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Pengubahsuaian Bajet2016 mengumumkan pengurangan sebanyak tiga peratus bagi kadar caruman KWSP bermula Mac ini.

Beliau berkata, pengurangan itu hanya diperuntukkan kepada caruman individu, manakala caruman KWSP‎ bagi pihak majikan pula diteruskan seperti biasa.

Golongan pekerja selama ini mencarum kepada KWSP sebanyak 11 peratus daripada kadar pendapatan diperoleh.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.