Categories
NASIONAL

PRN Sarawak : KEADILAN fokus keciciran pembangunan

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JAN: Tanah adat dan ketinggalan pembangunan dari Semenanjung Malaysia antara isu dibangkitkan KEADILAN Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka Mac depan.

Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian, berkata isu lain termasuk kesihatan, pendidikan, infrastruktur, kebebasan agama dan kehakiman serta Malaysia Agreement 6.

Katanya, parti itu juga sudah bersiap sedia bersama jenteranya untuk menghadapi PRN terbabit.

“Persiapan bagus, banyak isu akan dibawa. Semua pihak tahu Sarawak agak jauh ketinggalan dari Semenanjung Malaysia dalam pelbagai aspek.

baru-bian“Setakat ini, KEADILAN sudah bersiap sedia, kita akan arahkan jentera untuk bekerja dengan lebih kuat,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada masa sama, Baru Bian juga tidak menolak isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), rasuah dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai kelebihan kepada pembangkang berdepan pihak lawan.

“Ia adalah bonus kepada kita, malah KEADILAN di Sarawak mempunyai sokongan baik.

“Kemungkinan besar rakyat lebih suka Ketua Menteri baru jika beliau berani membangkitkan isu tempatan dan memperjuangkan hak rakyat Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem membayangkan akan mengadakan pilihan raya negeri pada Mac 2016 semasa sambutan Tahun Baru di Kuching.

Spekulasi semasa adalah pilihan raya mungkin diadakan paling awal pada Februari dan paling lewat pada Mei.

Dalam tempoh itu, ia juga boleh diadakan dalam masa 60 hari selepas tamat tempoh pada 20 Jun 2016.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.