Categories
NASIONAL

Tabung Haji digesa dedah laporan audit sebelum umum dividen

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 JAN: PAS menggesa supaya Laporan Ketua Audit Negara disertakan bersama sebelum pengumuman pembayaran dividen kepada pendeposit Tabung Haji.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam keadaan negara terpalit pelbagai kontroversi, diharapkan tidak akan muncul satu lagi skandal kewangan mengejutkan.

datuk-ibrahim-tuan-man1“Buat Lembaga Tabung Haji (LTH), memandangkan mereka sedang menunggu keputusan Ketua Audit Negara sebelum memutuskan jumlah dividen dan bonus, saya menyarankan supaya laporan audit Ketua Audit Negara terhadap LTH juga didedahkan dalam waktu itu.

“Ini kerana penafian masalah LTH dibuat Ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang memacu LTH seperti Pengerusi, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim mempertahankan pembelian tanah TRX sudah tidak lagi diyakini rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hanya pengesahan kedudukan kewangan daripada Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia (BNM) dapat memulihkan keyakinan rakyat susulan pendedahan surat amaran BNM yang diakui benar Pengerusi LTH sendiri.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, adalah lebih baik jika Pengerusi LTH dilantik bukan dalam kalangan orang politik.

Pertengahan minggu ini menyaksikan pendedahan kedudukan Penyata Kewangan Tabung Haji bagi tahun kewangan 31 Disember 2014 yang didakwa negatif dengan kerugian terkumpul sebanyak RM351 juta.

Namun Abdul Azeez berkata, Tabung Haji langsung tidak berdepan sebarang masalah kewangan seperti digembar-gemburkan.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.